Friday, November 16, 2012

Memang silap saya - Aidil


Safee Sali (kanan) meraikan jaringannya pada minit ke-58, namun Hong Kong bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-88 akibat salah faham di antara Mohd. Aidil Zafuan dan Khairul Fahmi Che Mat.

SHAH ALAM - "Saya memang buat silap kerana menghantar bola terlalu perlahan kepada Khairul Fahmi'.

"Tambahan pula kesilapan itu berlaku pada minit akhir, ia sudah pasti memberi kesan terhadap keputusan perlawanan."

Itu pengakuan pemain pertahanan skuad bola sepak kebangsaan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mengenai kesilapannya pada minit ke-88 yang membuka ruangan kepada Hong Kong menjaringkan gol penyamaan pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Jaringan tersebut bermula daripada hantaran penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat kepada Aidil.


Aidil kemudiannya cuba memberikan semula bola kepada Khairul Fahmi, namun bakal pemain Johor itu menyepak terlalu lemah sehingga disambar oleh Lam Hok Hei yang kemudiannya mudah menewaskan Khairul Fahmi.

Jaringan mudah pasukan lawan merentap semangat Harimau Malaya, yang hampir bergelar pemenang setelah mendahului menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-58.

Kata Aidil, dia agak bernasib baik kerana melakukan kesilapan sedemikian dalam aksi persahabatan.

"Saya berjanji akan lebih berhati-hati pada Piala Suzuki AFF. Insiden itu memberikan saya pengajaran berguna.

"Kepada penyokong negara, saya minta maaf, kami akan cuba bangkit daripada kegagalan ini," katanya.

Walaupun gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi persahabatan, Aidil menegaskan moral pemain tetap berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata dalam permainan bola sepak, pelbagai perkara boleh terjadi dan berharap salah faham seperti semalam, tidak akan berulang.

"Walaupun ada pengalaman, benda ini (kesilapan) boleh terjadi dan kami akan cuba fikir positif untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Kami tidak boleh terlalu kecewa kerana kejohanan semakin dekat dan akan cuba mencari kemenangan pada perlawanan seterusnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...