Saturday, November 24, 2012

Sabah idam tiket Liga Super


Harian Metro

“MISI kami adalah untuk kembali beraksi ke Liga Super pada 2014 dan pasukan yang dibentuk kali ini lebih baik daripada sebelum ini,” kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Osman Jami.

Katanya, seramai 16 pemain tempatan Sabah manakala selebihnya dijangka diisi pemain import tempatan dan luar negara bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.



Menurutnya, proses pembentukan pasukan dilihat lebih ketat terutama dari segi penilaian disiplin, kecergasan dan beberapa kriteria yang memenuhi kehendak pasukan terutamanya ketua jurulatih, David McCreery.

“Selepas menerima laporan ketua jurulatih, kami setuju menyenaraikan 16 pemain tempatan Sabah (untuk skuad Liga Perdana 2013),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan di pejabat Safa di Likas, kelmarin.

Osman berkata, dua daripada pemain terbabit adalah bekas pemain Sabah, Hardy Charles Parsi dan Farid Saibun manakala seorang lagi Mohd Ibnu Kassim, bekas pemain belia negeri Sabah.

Selebihnya adalah daripada skuad 2012 iaitu Irwan Jamil, Rosdin Wasli, Alto Linus, Shahrul Azhar Ture, Sumardi Hajalan, Julamri Muhamad, Shahrudin Yakup, Radzi Hussin, Zainizam Marjan dan Juffery Omopor sementara tiga pemain lagi adalah dari skuad Piala Presiden iaitu Leopold Alfonso Otong, Razid Gafar dan Sabri Sahar.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...