KUALA LUMPUR - Sejak ditutup awal September 2011 daripada sebarang perlawanan bola sepak Liga Malaysia ekoran permukaan padang dan rumput yang kurang memuaskan, sehingga hari ini Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, masih tidak dapat digunakan.
Dalam tempoh tersebut, nampaknya belum ada usaha Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperbaiki masalah padang di stadium yang boleh memuatkan 18,000 penonton.
Akibat ia memberikan tamparan kepada skuad bola sepak Kuala Lumpur yang terpaksa beraksi di luar Lembah Klang dengan menjadikan Stadium Hang Jebat, Melaka sebagai gelanggang tuan rumah selain Felda United.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa kecewa dengan sikap DBKL yang masih belum memberikan kata putus bila padang di stadium tersebut akan diperbaiki.
"Stadium ini merupakan hak DBKL sepenuhnya, kami tidak dapat berbuat apa-apa selain terus merayu mereka melakukan kerja-kerja pembaikan padang secepat yang mungkin.
"Masalah ini telah bermula semasa pentadbiran Datuk Bandar yang lama lagi iaitu di bawah pentadbiran (Tan Sri) Ahmad Fuad Ismail pada lalu.
"Kemudian, Datuk Bandar yang baru iaitu (Datuk) Ahmad Phesal (Talib) ada menyatakan hasrat mahu menyelesaikan isu ini.
"Namun sehingga sekarang masih belum ada apa-apa tindakan susulan walaupun dia ada berjanji mahu membantu.
"Kalau boleh kami mahu stadium ini digunakan sebelum Liga Malaysia musim baru dibuka tetapi melihat kepada situasi sekarang, rasanya memang satu perkara mustahil, " katanya ketika ditemui di pejabat KLFA, baru-baru ini.
Tambah Nokman, pada mulanya dia mahu mengambil pendekatan membina sahaja keadaan rumput yang rosak itu tanpa mahu menunggu tindakan DBKL namun bimbang tindakan itu akan tidak disukai oleh sesetengah pihak terbabit.
"Memang sudah ada pihak yang berminat untuk memperbaiki stadium ini tetapi kami tidak boleh sesuka hati memulakan kerja pembaikan kerana stadium ini adalah milik mutlak DBKL, kuasa di tangan mereka, " katanya.
Masalah rumput di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bukan merupakan satu masalah baru selepas ditutup seketika pada 1 Februari 2011 sebelum mendapat lampu hijau daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM untuk digunakan pada 22 Mac 2011.
Namun, tidak sampai enam bulan, keadaan rumput di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kembali rosak dan langsung tidak diperbaiki sehingga ke hari ini.
Menurut penjelasan Nokman, KLFA tidak boleh dipersalahkan mengenai keadaan rumput yang mendukacitakan kerana segala program yang dijalankan di stadium berkenaan adalah di bawah kelolaan DBKL.
No comments:
Post a Comment