Tuesday, December 4, 2012

Mat Yo belum berganti


Harian Metro

TANDA tanya siapa bakal menyarung jersi nombor 9 yang pernah dipakai Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo masih misteri walaupun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan tiga lagi pemain baru yang akan beraksi dengan Red Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia musim depan, semalam.

Dua daripada pemain baru itu membabitkan pemain import dari Kelab Sydney FC, Australia, Dimitri Petratos, 20, dan Lek Keira, 29, dari Croatia yang juga bekas pemain kelab Iran, Sahin FC, manakala seorang lagi pemain tempatan, Haris Safwan Mohd Kamal dari Johor FC.



Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, Petratos yang beraksi sebagai penyerang dalam kelab terkuat di Australia bakal menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan tiga kejuaraan yang dimenangi, musim depan.

Bagaimanapun, katanya, Petratos dan dua lagi pemain baru tidak akan menyarung jersi nombor 9.


“Sekarang kami bercakap mengenai persiapan pasukan dan siapa yang akan menyarung jersi nombor 9 akan diketahui pada 6 Disember ini kerana kami juga masih membuat perbincangan dengan beberapa pemain lain.


“Kami yakin dengan pengambilan seorang bintang muda dari kelab terhebat Australia akan membantu kita,” katanya pada majlis memperkenalkan pemain baru Kelantan di Kafe TRW, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim, penolong pengurus pasukan, Wan Badri Wan Omar dan dua bekas pemain T-Team, Zairo Anuar Zailani dan Mohd Faiz Subri yang sebelum ini diumumkan menyertai Kelantan.


Dalam pada itu, mengenai khabar angin Kafa bakal ‘meminang’ penyerang kebangsaan, Safee Sali dan pemain Indonesia, Andik Vermansyah, Annuar berkata, Kafa masih menyimpan sedikit ruang untuk melakukan perubahan bagi memantapkan lagi pasukan Kelantan.

“Tidak mustahil jika kami mahu ambil Safee atau Andik kerana masa pendaftaran pemain masih ada dan apa-apa saja boleh berlaku. Malah, kami juga sedang berbincang dengan beberapa lagi pemain dari pasukan lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...