STATUS Kelab Johor Darul Takzim selaku pasukan yang memiliki ramai bintang tercalar selepas tewas mengejut 1-2 kepada skuad abang, Johor yang muncul juara Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor pada aksi final di Stadium Larkin, malam tadi.
Ternyata kelibat pemain berstatus bintang yang mewarnai Johor Darul Takzim berjaya menggamit kehadiran lebih 30,000 penyokong untuk menyemarakkan lagi saingan final biarpun ia sekadar pertembungan adik dan abang namun tetap menyajikan aksi menarik kedua-dua pasukan.
Skuad bimbingan Fandi Ahmad bertindak garang seawal minit ke-10 berpunca dari gerakan kapten, Safiq Rahim yang mengumpan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha namun bola rembatan deras penyerang skuad Harimau Selatan itu pantas ditepis keluar penjaga gol, Mohd Syamim Othman.
Biarpun sering diasak, anak didik Azmi Mohamad pantas melakukan serangan balas dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-33 selepas bola rembatan Juan Muriel Orlando gagal ditangkap kemas penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah dan rembatan susulan Andre Francisco Da Silva melepasi palang gol.
Gol yang dinanti skuad Harimau Selatan terhasil pada minit ke-43 berpunca daripada gerakan Norshahrul yang sekadar menanduk bola sipi untuk membuka ruang buat Nurul Azwan Roya merembat kencang dari luar kotak penalti dan gagal ditepis Mohd Syamim. Namun gol itu tidak bertahan lama apabila Orlando menyamakan jaringan pada minit ke-56 hasil tandukan mudah.
Orlando yang tidak dikawal kemudian mencipta gol kemenangan pada minit ke-76 selepas bola rembatan deras dari luar kotak penalti tepat menerjah jaring untuk memastikan Johor yang beraksi di kancah Liga Perdana musim depan meraih kemenangan.
Pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, Pahang membelasah kelab Liga Singapura (Liga S), Woodlands Wellington, 6-0 dalam perlawanan yang diadakan di Padang Seri Gelam, semalam.
No comments:
Post a Comment