Friday, December 14, 2012

Ultras Malaya tabik penyokong Thailand



BANGKOK - Suasana di luar Stadium Supachalasai sebelum perlawanan Thailand dan Malaysia petang semalam, cukup meriah dan harmoni tanpa sebarang kekecohan di antara penyokong kedua-dua pasukan.

Berbeza dengan perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Rajamangala yang sunyi tanpa kehadiran ramai penyokong, Supachalasai yang pernah menjadi stadium nasional negara itu satu ketika dahulu, dipenuhi oleh majoritinya penyokong Thailand.

Kira-kira satu jam sebelum perlawanan bermula pukul 7.00 petang waktu tempatan, sorakan dan kibaran bendera gergasi daripada penonton Thailand memeriahkan suasana sambil turut diikuti penyokong Malaysia yang hadir.

Kehadiran kira-kira 800 peminat setia Harimau Malaya di luar stadium langsung tidak diganggu oleh rakyat Thailand malahan sempat bergambar, membuktikan semangat setiakawan dua buah negara yang berjiran itu cukup utuh.


Wakil Ultras Malaya yang sempat ditemui, Redzuan Ahmad, berkata, sikap penyokong Thailand wajar dipuji kerana tidak melakukan sebarang provokasi dan ramai penyokong Malaysia berasa selamat berada di sini.

"Kami penyokong Malaysia yang kebanyakannya baru tiba semalam dan hari ini. Sejak berada di Bangkok tidak wujud sebarang masalah dan kebanyakan mereka menyambut dengan baik.

"Berbanding dengan penyokong Indonesia dan Singapura, rakyat di sini nampak lebih sporting dan menganggap kami seperti sahabat.

"Kami bebas berada di luar stadium dan ramai juga yang berbual-bual dengan kami di samping sempat bersalaman sesama sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...