Saturday, December 15, 2012

Harian Metro


SELEPAS gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal kini menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, beliau masih memiliki baki kontrak bersama FAM hingga hujung tahun depan dan berpegang teguh dengan misi utamanya membantu skuad kebangsaan melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2015 di Australia.



“Saya masih memiliki kontrak hingga 2013, segala keputusan mengenai kedudukan saya selepas ini, saya serahkan kepada FAM. Saya masih ada tugas untuk dilaksanakan hingga 2013.

“Pasukan negara akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia pada Februari tahun depan menentang Qatar dan fokus saya tetap untuk membawa pasukan ini beraksi ke pusingan akhir Piala Asia 2015,” katanya kepada pemberita di Bangkok sebelum berangkat ke Kuala Lumpur semalam.


Rajagobal berkata, beliau dijangka membuat sedikit rombakan pemain bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia Kumpulan D yang membabitkan Qatar, Bahrain, Yaman dan membuat perancangan awal dengan mengatur dua perlawanan persahabatan Oktober depan.


Namun kegagalan di Piala AFF wajar diberi perhatian sebelum FAM berangan-angan menggapai impian lebih tinggi di pentas Asia.

Kekalahan agregat 1-3 kepada Thailand di peringkat separuh akhir, kelmarin membuktikan sejauh mana peningkatan skuad Harimau Malaya selepas dua tahun bergelar juara rantau Asia Tenggara.


Sememangnya keputusan pengadil dari Korea Selatan Lee Minhu yang dilihat ‘berat sebelah’ boleh dipertikaikan namun adakah ia keputusan tepat oleh Rajagobal mengarahkan pemain tengah Amar Rohidan mengambil posisi pertahanan tengah Mohd Fadhli Shas yang dibuang padang pada aksi separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Supachalasai kelmarin.

Pemain tengah, Mohd Faizal Muhammad hanya dimasukkan menggantikan Amar selepas gawang negara bocor dua kali dan Thailand sebenarnya beraksi lebih baik berbanding ketika seri 1-1 di Kuala Lumpur Ahad lalu dengan penguasaan bola dan percubaan bahaya biarpun Malaysia beraksi dengan 11 pemain pada babak pertama.


Sememangnya nasib tidak menyebelahi Rajagobal kerana dihimpit kecederaan pemain utama namun di manakah kedudukan pemain lain dalam skuad 22 pemain terbaiknya selepas berjaya melepasi eksperimen sebelum kejohanan ini.


Mungkin kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala AFF ini sudah boleh dibanggakan memandangkan prestasi Harimau Malaya sebelum kejohanan tidak memuaskan termasuk seri 1-1 dengan pasukan kerdil, Bangladesh pada aksi persahabatan.


Tidak dinafikan jasa pemain yang berjaya merubah senario bola sepak negara selepas ‘tidak bermaya’ selama 20 tahun wajar dikenang tapi ia tidak bermakna ia lesen untuk seseorang pemain itu terus kekal dalam pasukan.


“Saya tidak boleh membuat rombakan drastik, saya akan menilai pemain apabila Liga Malaysia bermula tahun depan. Saya mahu membentuk skuad yang mantap kerana kelayakan Piala Asia adalah tahap lebih tinggi. Harap pemain boleh berada di prestasi terbaik sebelum perlawanan pertama menentang Qatar,” kata Rajagobal.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...