‘PENYAKIT misteri’ yang dialami Muhamad Nazmi Faiz Mansor kini sudah tidak lagi membelenggu pemain muda berbakat negara itu apabila dia kini dilaporkan mampu beraksi sepanjang permainan.
Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini mencetuskan rasa ‘bingung’ jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee apabila dia hanya boleh bertahan sekurang-kurangnya 60 minit permainan sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kekejangan otot.
Namun hasil latihan dan perlawanan berkualiti bersama kelab barunya, S C Beira-Mar di Portugal sejak Julai lalu, ia ternyata memberi kesan positif.
Kim Swee berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan terbaru itu memandangkan Nazmi antara tonggak utama dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang bakal memikul misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar hujung tahun depan.
“Saya sentiasa memantau prestasi Nazmi di sana (Portugal) dan apa yang menggembirakan saya, dia tidak lagi mengalami kekejangan otot ketika beraksi, ini satu petanda positif.
“Dia memaklumkan kepada saya, corak latihan yang berbeza dan beraksi bersama pemain yang berkualiti banyak membantunya meningkatkan prestasi. Buat masa ini saya tidak mahu mengganggu program Nazmi bersama S C Beira-Mar, tapi saya sudah membuat perancangan untuk membawanya berlatih bersama skuad negara,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Nama Nazmi mula menjadi sebutan apabila beraksi cemerlang ketika membantu skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta, tahun lalu meskipun mendapat panggilan saat akhir Kim Swee.
Ketika ini pemain kelahiran Kuala Lumpur itu beraksi dengan skuad bawah 19 tahun, S C Beira-Mar dan sedang berusaha untuk mencari tempat dalam skuad utama.
Menurut Kim Swee, beliau tidak bercadang memanggil Nazmi dalam masa terdekat ini, namun menyatakan pemain itu akan turut serta bersama pasukannya ketika menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Eropah dan juga kejohanan Pestabola Merdeka, Ogos depan.
“Kami akan berpangkalan di Slovakia bermula Mac hingga Julai ini dan dalam tempoh itu, saya akan memanggil Nazmi jika dia tidak terikat dengan perlawanan bersama kelabnya. Saya juga akan cuba mendapatkan khidmatnya bagi Pestabola Merdeka sebelum ke Sukan Sea Myanmar,” katanya yang menyaksikan anak buahnya menumpaskan Sime Darby FC 2-1 dalam aksi persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Selain Nazmi, Kim Swee juga akan memanggil pemain luar daripada Harimau Muda A seperti Mohd Zubir Azmi (Terengganu) dan Nik Shahrul Azim Abd Halim (Kelantan) sekiranya mereka beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia.
Setakat ini, Harimau Muda A yang menjadi teras skuad B-23 negara dibarisi 27 pemain dan bakal memulakan persiapan pertama dengan mengadakan sisi jelajah Australia hujung bulan depan.
No comments:
Post a Comment