Friday, December 28, 2012

Saingan Liga Super, Perdana berlangsung petang


Sumber: Harian Metro Online

SELEPAS sekian lama peminat bola sepak tempatan dihidangkan perlawanan pada waktu malam, saingan Liga Malaysia yang bermula 5 Januari ini bakal menyaksikan hampir kebanyakan perlawanan membabitkan saingan Liga Super dan Liga Perdana berlangsung pada waktu petang.

Hanya tujuh stadium mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan perlawanan pada waktu malam iaitu memenuhi syarat lampu limpah stadium yang mencapai kecerahan 1,000 lux.



Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tujuh stadium itu ialah Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu, Stadium Shah Alam, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Stadium Darul Makmur, Kuantan, Stadium Negeri Kuching, Sarawak, Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Jalan Besar, Singapura.

Kesemua tujuh stadium itu jelas Hamidin akan memulakan perlawanan seperti biasa iaitu pada jam 8.45 malam sementara stadium lain akan menganjurkan perlawanan bermula pada 4.45 petang kecuali di Sabah 4.15 petang.


“Ingin saya tegaskan bermain pada waktu petang bukanlah satu kesalahan, hanya di Malaysia kita biasa dihidangkan dengan perlawanan malam.


“Di negara lain, seperti Arab Saudi umpamanya, bermain pada waktu petang adalah sesuatu yang biasa.

“Saya tidak mahu nanti ada yang kata FAM kejam kerana tidak membenarkan perlawanan berlangsung pada waktu malam,” katanya pada sidang media semalam.

Jelas Hamidin, FAM dari masa ke semasa sebelum ini sudah memaklumkan kepada pengurusan stadium serta pasukan yang bertanding supaya memenuhi piawaian baru itu dalam usaha mereka mengikut standard antarabangsa.

“Kami mahu ke arah lebih baik, sebab itu buat keputusan seperti ini.” Bagaimanapun jelas beliau, beberapa pengurusan stadium seperti di Pasir Gudang, Ipoh dan Terengganu kini menjalani kerja-kerja menaik taraf lampu limpah.

“Sekiranya kerja-kerja menambah baik itu sudah siap, FAM akan menghantar pegawai untuk membuat pemeriksaan sebelum meluluskannya untuk beraksi pada waktu malam.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...