Wednesday, December 26, 2012

2012 tahun duka Harimau Malaya



Sukan bola sepak negara menutup tahun 2012 dengan cerita duka apabila trofi Piala Suzuki AFF yang dimenangi pada dua tahun lalu terlepas kepada Singapura selepas kita tersungkur pada separuh akhir kepada Thailand dengan agregat 1-3.

Kegagalan itu sukar diterima kerana mutu persembahan skuad Datuk K. Rajagobal di sepanjang kejohanan masih pada takuk lama.



Kita tewas 0-3 kepada Singapura sebelum bangkit dengan menang 4-1 ke atas Laos, dan mengalahkan Indonesia 2-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan B bagi menempah tempat ke separuh akhir bertemu Thailand.

Harimau Malaya gagal menjinakkan Gajah Perang pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila seri 1-1.

Seperti diramal, Malaysia kalah 0-2 kepada Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok dengan isu kontroversi pengadil dari Korea Selatan, Lee Minhu yang melayangkan kad merah kepada Mohd. Fadhli Shas pada minit ke-43.

Kemerosotan prestasi beberapa pemain yang membantu Malaysia muncul juara kali pertama pada 2010 menimbulkan tanda tanya adakah khidmat mereka masih kekal relevan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015 Februari depan.

Safiq Rahim, Safee Sali dan S. Kunanlan dan Amar Rohidan mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar dan hebat dikritik.

Eksperimen oleh Rajagobal tidak langsung menjadi.

Ketumpulan taring Harimau Malaya dapat dilihat pada beberapa perlawanan persahabatan apabila tidak bermaya menundukkan Hong Kong (14 November) dan Bangladesh (20 November) semasa beraksi di tempat sendiri apabila sekadar seri 1-1.

Malahan sebelum itu ditundukkan oleh Vietnam dalam kedua-dua perlawanan di Stadium Shah Alam apabila kalah 2-0 pada 11 September dan 1-0 di Hanoi (3 November) selain kalah 0-2 kepada Thailand di Stadium Rajamangala pada 7 November.

Ranking Malaysia yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperlihatkan tiada sebarang peningkatan membanggakan dengan kedudukan terbaru pada 19 Disember lalu ialah sekadar berada di tempat ke 158 dunia.

Sebagai perbandingan ranking Malaysia sepanjang tahun 2012 bermula pada bulan Januari ialah 148, 150 (Februari), 152 (Mac), 156 (April), 153 (Mei), 154 (Jun), 157 (Julai dan Ogos), 156 (September), 162 (Oktober) dan 163 (November).

Hanya tiga kemenangan dapat dicapai Harimau Malaya pada siri perlawanan persahabatan iaitu ketika membelasah Sri Lanka 6-0 pada 28 April, menewaskan Singapura 2-0 (12 Jun) dan mengutip satu-satunya kejayaan di tempat lawan ketika menumpaskan Hong Kong 3-0 pada 16 Oktober.

Menambah kepahitan skuad bola sepak ialah kegagalan pasukan Olimpik yang meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam pusingan akhir kelayakan Kumpulan C apabila tewas dalam keenam-enam perlawanan.

Telah gagal dalam tiga perlawanan yang dijalankan pada tahun lalu, mereka terus menjadi sasaran mudah lawan untuk dijinakkan apabila kalah kepada Bahrain 1-2 (5 Februari), dibelasah Jepun 0-4 (22 Februari) dan Syria (14 Mac).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...