Monday, December 24, 2012

ATM tak gusar: Sathia

Harian Metro


KEGHAIRAHAN beberapa pasukan Liga Super mendapatkan barisan pemain terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan tidak sedikitpun mengundang rasa gusar naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pernah dilabel sebagai ‘Manchester City Malaysia’ apabila berjaya menyambar beberapa pemain berstatus bintang pada musim lalu, skuad kendalian B Sathianathan bagaimanapun dilihat kurang menyerlah dalam soal pembelian pemain pada musim ini berbanding lawan mereka seperti Johor, T-Team serta Perak.



Ia pantas mengundang persoalan adakah pasukan yang muncul juara Liga Perdana musim lalu itu mampu untuk terus bersaing pada musim ini selepas hanya menyambar beberapa pemain baru iaitu Shukor Adan serta penjaga gol, G Jeevananthan bagi menggantikan pemergian Aidil Zafuan Abd Radzak dan adiknya Zaquan Adha serta Azmi Muslim ke Johor.

Ditambah lagi dengan prestasi kurang memberangsangkan pada siri perlawanan persahabatan, namun itu semua bukanlah sesuatu yang merisaukan Sathianathan.

“Tidak dinafikan musim depan cukup mencabar bagi kami dengan kebangkitan pasukan seperti Johor yang mempunyai barisan pemain bintang.

“Jika dulu kami digelar Manchester City Malaysia, tetapi sekarang tidak lagi. Tetapi apapun, saya akan cuba yang terbaik dengan pemain sedia ada.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, sasaran kami ialah untuk berada dalam kelompok tiga terbaik di Liga Super dan jika boleh cuba sekali lagi untuk melangkah ke final Piala Malaysia,” katanya.

Selain Shukor dan Jeevananthan, bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut mengambil langkah berani dengan mengekalkan bintang sensasi Piala Presiden, Ammar Aziz dalam skuad utama selepas dinaikkan pada kempen Piala Malaysia musim lalu dan membawa masuk pemain muda lain seperti V Thinagaran.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...