Saturday, December 29, 2012

Skuad Bawah 15 miliki masa depan cerah

Utusan Online


KUALA LUMPUR - Masa depan skuad kebangsaan dalam tempoh empat tahun akan datang cerah apabila mempunyai pasukan pelapis yang mantap di bawah bimbingan jurulatih S. Balachandran yang menyertai kejohanan Piala Antarabangsa Frenz 2012.

Pasukan bawah 15 tahun negara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada perlawanan pertama peringkat kumpulan semalam dengan membelasah kelab Slavia Praha bawah 15 tahun 5-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Menurut Balachandran, dia mengambil masa dua bulan untuk mempersiapkan pasukan dengan mengumpul pemain terbaik negara pada usia 15 tahun ke bawah.



Katanya, dia lega kerana ujian pertama yang dilalui skuadnya semalam berjaya ditempuhi dengan cemerlang.

"Saya mencari pemain yang betul-betul bagus untuk dikumpul menjadi sebuah pasukan. Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan kerana bermain dengan bagus hari ini (semalam)," katanya.

Jelasnya, pemainnya yang bakal menjadi pelapis kepada pasukan Harimau Muda A, B dan C, beraksi dengan cemerlang setakat ini selepas mudah menumpaskan pasukan kelab bawah 15 tahun dari Republik Czech itu.

"Tentang perlawanan tadi, mungkin pasukan lawan mendapat sedikit kesukaran untuk beraksi di sini kerana mereka baru tiba dan sedang menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan kami mengambil kesempatan di atas perkara itu.

"Saya mahu memberi semua pemain peluang untuk beraksi dalam kejohanan ini, kerana kami adalah pasukan pembangunan, saya akan sentiasa melakukan kerja rumah untuk mengekalkan kecemerlangan pasukan ini," katanya.

Antara pemain paling menonjol dalam skuad ini ialah Muhammad Najmuddin Samat yang mempunyai kemahiran kawalan bola yang tinggi dan berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan semalam walaupun bertubuh kecil.

"Saya telah melihat keadaan pemain sejak dua hari lalu dan gembira melihat perkembangan mereka dari masa ke semasa, kami telah bersama sejak Oktober lalu di Piala Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

"Selepas itu kami berkampung di Jitra, Kedah pada bulan lepas selama dua minggu untuk membentuk persefahaman antara pemain," kata bekas pemain Kuala Lumpur dan Malaysia itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...