JURULATIH Perak, Mohd Azraai Khor mengarahkan awang import, Karim Rouani mempertingkatkan kemampuannya kerana tidak berpuas hati dengan persembahan pemain itu.
Selepas empat perlawanan, termasuk tiga ketika mengadakan Jelajah Utara dari 17- 21 Disember lalu, Azraai bimbang dengan persembahan penyerang berasal dari Perancis itu. Katanya, daripada empat perlawanan, Karim hanya menyumbang satu gol itupun melalui sepakan penalti ketika bertemu sebuah kelab dari Kedah. “Saya beritahu dia bahawa persembahan seperti setakat ini tidak cukup dan dia perlu lakukan sesuatu untuk meningkatkan keupayaannya.
“Dia mempunyai skil dan boleh mencipta peluang tetapi setakat ini penyudahannya cukup tumpul.
“Pemain itu sedar kepincangannya dan berjanji untuk memperbaikinya apabila kembali ke Ipoh dan saya berharap dia akan lakukan apa yang patut dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, Azraai berpuas hati dengan seorang lagi pemain import, Rafeal Souza Silva Novais, yang berjaya mewujudkan gandingan mantap dengan rakan lain di bahagian benteng.
Menurut beliau, bekas pemain Bangkok Glass FC dalam Liga Thailand dari Brazil itu semakin membuktikan kemampuannya serta menunjukkan perwatakan mantap sebagai pemain pertahanan.
“Dia bijak menyusun dan membimbing rakan serta menunjukkan persefahaman dengan pemain lain di bahagian pertahanan.
“Saya yakin dia mampu memainkan peranan yang berkesan untuk mengemudi pasukan dalam kempen musim ini,” katanya.
Mengenai Jelajah Utara itu, Azraai berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang memenangi semua perlawanan selain menunjukkan kemampuan masing-masing ketika diberi peluang beraksi.
No comments:
Post a Comment