Tuesday, December 11, 2012

Mahalli, Fadhli kecewa Thailand berjaya curi satu gol di Bukit Jalil



KUALA LUMPUR - Watak penting yang membawa kepada gol tunggal Harimau Malaya dalam perlawanan separuh akhir pertama kelmarin, Mahalli Jasuli mengakui kecewa kerana gagal mempertahankan kelebihan satu gol untuk dijadikan bekalan ke Bangkok, Khamis ini.

Merasakan kemenangan tipis 1-0 sudah mencukupi tanpa memberikan sebarang gol di tempat lawan kepada Thailand, bek kanan negara itu mengakui mereka berdepan tugasan sukar untuk meraih tempat ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2012.


"Sepatutnya 1-0 sudah memadai tetapi apabila kita sekadar seri, kita kena perlu gandakan usaha pada separuh akhir kedua nanti.

"Di sini, penyokong banyak membantu kami dengan memberikan sokongan padu, itu kelebihan yang kami ada.

"Namun, apabila bermain di tempat lawan nanti, suasananya pasti berbeza kerana tidak mendapat sokongan seperti di sini dan dan perlawanannya pasti menjadi lebih sukar, " katanya ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol yang dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-48 berpunca daripada kesungguhan Mahalli, yang mengejar bola dari sebelah kanan sebelum melakukan hantaran lintang untuk ditanduk oleh Norshahrul.

Bagi rakan sepasukan Mahalli, Mohd. Fadhli Shas yang mempamerkan aksi bertenaga mengekang rangkaian barisan serangan Thailand, berasakan satu kerugian besar buat Malaysia kerana melepaskan gol penyamaan pada minit ke-79.

"Saya rasa Thailand bernasib baik dapat menjaringkan gol penyamaan dan kita sepatutnya boleh menang namun perjuangan masih belum berakhir.

"Misi lebih besar sedang menanti kami di sana (Bangkok) dan yakin kami akan menyingkirkan Thailand di tempat sendiri nanti.

"Kami cukup berpuas hati dengan aksi pada perlawanan ini dan mengharapkan dapat meneruskan persembahan sebaik ini di Bangkok, " katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...