Wednesday, December 26, 2012

Pemain Jang cari keserasian

Harian Metro


KEPUTUSAN hambar dalam beberapa perlawanan persahabatan bukan bermakna persiapan dilakukan kurang mantap sebaliknya pemain masih dalam proses penyesuaian ke arah mencapai kesempurnaan.

Itu pandangan ketua jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves yang menganggap ia proses biasa kerana yakin anak buahnya akan mencapai tahap prestasi terbaik menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2013 yang bermula pada 5 Januari.



Bekas pengendali kelab Persebaya FC itu berkata, pihaknya menilai persembahan anak buahnya terutama tahap kecergasan dan keserasian serta persefahaman yang dibentuk selepas lebih sebulan mengendalikan pasukan itu.

“Hasil beberapa perlawanan persahabatan menentang Polis, Sarawak dan SPA Putrajaya FC, ada keputusan yang tidak memihak kepada kami tapi itu bukan ukuran sebenar kekuatan kerana rata-rata pemain dalam proses menyesuaikan diri dan mencari rentak terbaik.

“Tambahan pula kami memiliki beberapa pemain baru termasuk dua pemain import dan mereka sudah tentu memerlukan sedikit masa untuk mempamerkan persefahaman sebelum menunjukkan kehebatan sebenar.

“Saya tidak bimbang keputusan perlawanan persahabatan kerana yakin pemain akan mencapai tahap prestasi terbaik sebelum tirai saingan liga bermula,” katanya.

Kali ini, Negeri Sembilan diperkuat lapan pemain baru tempatan, Mohd Hamsani Ahmad (penjaga gol), Mohd Fauzi Nan, Abd Ghani Rahman dan Azmeer Yusof (pertahanan), Mohd Alafi Mahmud (penyerang) dan Eddy Helmi Manan (sayap) selain dua import, William Paul Modibo dari Cameroon sebagai tonggak pertahanan serta Emanuel Matias De Porras (Argentina) sebagai peneraju barisan depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...