Tuesday, February 7, 2012

Keputusan akhir di tangan Presiden


Harian Metro

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) belum pasti sama ada akan mendedahkan nama 18 pemain Piala Presiden yang terbabit dengan gejala rasuah kepada umum kerana ia bergantung kepada keputusan Presiden, Sultan Ahmad Shah.



Perkara ini dimaklumkan Setiausaha Agung badan induk bola sepak tanah air itu, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi Arena Metro, semalam.


“Kami belum menetapkan lagi sama ada akan mengumumkan nama pemain terbabit kepada umum kerana perkara ini akan dibentangkan kepada Tuanku Presiden terlebih dulu dan kemudian terpulang kepada Tuanku Presiden untuk membuat keputusan,” katanya.



Ketika ditanya adakah FAM akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan perkara itu esok, Azzuddin berkata: “Belum ditetapkan lagi, kita akan putuskan sama ada akan memberikan nama pemain terbabit kepada pihak media atau tidak.” Selepas mesyuarat Exco FAM, Sabtu lalu, badan induk bola sepak tanah air itu mengumumkan hukuman penggantungan 18 pemain untuk tempoh dua hingga lima tahun membabitkan enam pemain setiap pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar tahun lalu selepas didapati bersalah mengatur perlawanan. Rata-rata pemain itu berusia antara 18 hingga 21 tahun.


Selain 18 pemain terbabit, bekas jurulatih skuad bawah 21 tahun Negeri Sembilan, Yusarman Yusof pula dilapor dikenakan penggantungan seumur hidup.



FAM sebelum ini menjelaskan hanya akan mendedahkan nama pemain terbabit kepada umum esok selepas semua urusan dan peringatan dikeluarkan kepada persatuan negeri dan kelab ahli gabungan FAM.



Bagaimanapun tindakan FAM itu mendapat reaksi berbeza bekas pemain negara dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh.


Dalam laporan Arena Metro semalam, Serbegeth yang turut dikenali dengan panggilan Shebbie menggesa badan induk bola sepak tanah air itu tidak memburukkan lagi keadaan dengan mendedahkan identiti pemain muda terbabit kepada umum.



Baginya jika perkara itu dilakukan, ia bukan saja memusnahkan masa depan pemain terbabit dalam aktiviti bola sepak, malah usaha membina kerjaya dalam bidang lain turut tergugat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...