Friday, February 3, 2012

Nasihat PSSI demi kebaikan


Harian Metro

PERSATUAN Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengingatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status Safee Sali sekiranya Malaysia mahu menggunakan khidmat ketua pasukan kelab Indonesia, Pelita Jaya itu bagi mana-mana perlawanan persahabatan antarabangsa.


Menurut laporan portal berita Indonesia, Republika.co.id yang menggunakan tajuk ‘Safee dan Malaysia terancam Sanksi (pengharaman) Fifa’, ingatan daripada PSSI bukanlah bermaksud badan induk bola sepak Indonesia itu mahu mencampuri urusan FAM.

“Sesuai dengan arahan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa), pemain yang memperkuat liga ilegal (haram) dilarang bermain di pertandingan rasmi Fifa,” kata Wakil Ketua Komisi Disiplin PSSI, Agus Saptono.




Safee kelmarin menyambung kontraknya selama dua tahun dengan Pelita Jaya dan yakin dapat terus bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia walaupun Liga Super Indonesia (ISL) yang disertai Pelita Jaya sekarang berdepan kemungkinan diharamkan Fifa.

Setiausaha Fifa, Jerome Valcke dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay dalam surat mereka kepada PSSI sebelum ini menyatakan: “Pemain-pemain ISL tidak dibenarkan bermain dengan pasukan kebangsaan.” Fifa sebelum ini meminta senarai nama pemain yang bermain di ISL daripada PSSI dan nama Safee pasti berada dalam senarai itu.


“Jika Fifa tahu Safee bermain, akibatnya ialah pengharaman,” dakwa Agus. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...