KUALA LUMPUR - Setelah gagal mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan terakhir, Mohd. Hafiz Kamal tekad mahu membantu Pahang kembali meraih tiga mata menjelang pertemuan getir berdepan Johor, malam ini.
Sedar kegagalan mencatatkan sebarang kemenangan sekali lagi bakal menjejaskan lagi peluang Pahang mengejar kedudukan pendahulu Liga Perdana yang kini diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
''Memang saya kecewa yang teramat sangat kerana tidak dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ketika bertemu ATM baru-baru ini biarpun kami berjaya memberi saingan dan kehilangan dua mata berharga semasa berdepan Perlis.
''Kami perlu bangkit untuk mencatatkan kemenangan dan saya berazam tidak mahu menghampakan penyokong Pahang pada pertemuan dengan Johor esok (malam ini), saya janji akan cuba berikan kemenangan.
''Walaupun tahu Johor bukan calang-calang pasukan kerana masih belum tewas di samping kami kehilangan dua pemain di bahagian pertahanan disebabkan penggantungan, saya tetap yakin stadium Temerloh akan terus menjadi stadium bertuah kepada Pahang," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beraksi di bahagian tengah, Hafiz dilihat menjadi watak penting kepada kekuatan Pahang pada musim ini kerana sepakan percumanya sering memerangkap lawan sama ada berupaya mencecah jaring lawan atau membuka ruang kepada rakan sepasukan menjaringkan gol.
Menjelaskan kehadirannya bersama Pahang, Hafiz berkata, dia semakin serasi dengan dengan kebanyakan pemain dalam skuad Tok Gajah, namun meluahkan sedikit rasa kecewa mengenai tahap persembahan pemain import, Nana Yaw Agyei.
''Saya rasa Nana tidak banyak membantu pasukan dan dia gagal membentuk kerjasama yang baik dengan rakan sepasukan termasuk saya sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment