Wednesday, February 22, 2012

Sekat hajat Samurai Biru


KHAIRul Fahmi Che Mat (kiri) dan rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam sebagai persediaan perlawanan Kelayakan Olimpik 2012 menentang Jepun hari ini. – Utusan/Irwan Majid


KUALA LUMPUR – Sudah terkeluar daripada pusingan akhir Kelayakan Olimpik bukan alasan buat skuad Ong Kim Swee untuk terus mengibar bendera putih apabila melayani cabaran Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Di atas kertas, diakui skuad Bawah 23 negara sukar menandingi kehebatan daripada segenap aspek skuad Samurai Biru jika perlawanan pertama di Stadium Tosu, Fukuoka dijadikan sandaran, apabila Malaysia tewas 0-2.




Lantaran itu tidak ramai yang berani meramalkan peluang skuad negara untuk mendapatkan sesuatu dalam perlawanan hari ini.

Namun nada Kim Swee pada sidang media pra perlawanan semalam masih kekal positif.

Dia tetap berkeinginan menagih sekurang-kurangnya satu mata atau menyekat Jepun daripada bermaharajalela, menang dengan jaringan besar.

Pengendali skuad negara itu yakin mereka mampu beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri, apatah lagi tekanan kini memihak kepada pasukan pelawat.

“Tiada apa yang perlu kami bimbangkan kerana kami tidak akan rugi apa-apa kerana sudah tiada harapan untuk ke Olimpik.

“Sebaliknya tekanan berpihak kepada Jepun yang bukan sahaja mahukan kemenangan tetapi terdesak memburu jaringan yang besar bagi mengatasi Syria.

“Jika mereka terlalu mengamalkan permainan menyerang, mereka akan terperangkap dengan cara kami.

“Memang bukan mudah menentang Jepun walaupun mendapat sedikit kelebihan bermain di tempat sendiri.

“Jika kami boleh meraih kemenangan atau mendapat satu mata, itu satu pencapaian amat besar buat kami, ” katanya semalam.

Menyentuh taktikal perlawanan dengan Jepun, Kim Swee memberi bayangan akan mengamalkan corak permainan berbeza berbanding pertemuan pertama 21 September lalu.

“Berdasarkan perlawanan pertama, mungkin ramai beranggapan kami akan memilih corak permainan bertahan sekali lagi, tetapi saya mungkin akan menggunakan pendekatan berlainan.

“Kami akan bermain seperti biasa walaupun saya sedar Jepun akan bermain bermatian-matian, ” jelasnya.

Malaysia akan turun tanpa Wan Zack Haikal Wan Noor dan Gary Steven Robbat kerana menjalani penggantungan perlawanan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...