Friday, February 3, 2012

Status Safee cetus tanda tanya



KUALA LUMPUR – Status sama ada Safee Sali boleh mewakili skuad negara atau sebaliknya ekoran kemelut Liga Super Indonesia (ISL) dan FIFA terus mengundang tanda tanya.

Ini kerana sebuah media portal berita Indonesia, Republika co.id semalam melaporkan bahawa AFC secara rasmi telah mengarahkan pemain yang beraksi dalam ISL di Indonesia tidak dibenarkan mewakili skuad kebangsaan.

Mengulas khabar angin terbaru itu, pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Subahan Kamal mengesahkan beliau belum menerima sebarang arahan sama ada secara bertulis atau lisan daripada FIFA mengenai larangan menggunakan khidmat Safee.

“Setakat ini tiada sebarang masalah untuk Safee mewakili negara kerana kami belum menerima sebarang arahan khusus daripada FIFA.

“Untuk itu, kami mengambil pendekatan selagi Safee tidak dilarang bermain, dia akan terus beraksi dengan skuad negara.

“Malah namanya turut disenaraikan untuk perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi dan Filipina tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, portal berita Indonesia, Republika co.id mendedahkan Setiausaha FIFA, Jerome Valcke dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Alex Soosay mengarahkan pemain yang beraksi dalam Liga Super Indonesia (ISL) tidak lagi dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan.

Ia dibuat menerusi sepucuk surat kepada Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Subahan mengakui, beliau perlu mengikut arahan jika dalam masa terdekat menerima surat daripada PSSI atau FIFA mengenai pengharaman penggunaan pemain yang beraksi dalam ISL.

“Jika ada arahan sedemikian, kami kena akur. Saya dan pengurusan pasukan negara tidak boleh suka-suka menurunkan Safee jika dia tidak dibenarkan beraksi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menafikan pihaknya menerima surat peringatan dari PSSI mengenai status terkini Safee.

“Tidak ada... tidak ada sebarang surat daripada PSSI. Ini semua hanya spekulasi. FAM tidak menerima apa-apa dari PSSI mengenai status Safee yang didakwa tidak lagi dibenarkan mewakili skuad kebangsaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...