SKUAD kenari menganggap kebangkitan semula mereka belum terlambat bagi memperbaiki pencapaian menghadapi saingan Liga Super akan datang.
Pemain sayap Kedah, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri, berkata dia yakin pasukannya mampu keluar dari zon penyingkiran malah akan mengharungi saingan awal liga walaupun terpaksa berdepan pelbagai masalah.
“Pungutan mata antara pasukan juga tidak jauh berbeza dan kami juga tidak akan mengaku kalah kerana masih banyak perlawanan perlu dihadapi sebelum juara Liga Super ditabalkan.
“Saya yakin Kedah akan memberi saingan yang digeruni serta tampil berbeza dengan kemasukan tiga pemain import baru nanti,” katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) FC di Stadium USM, Rabu lalu.
Dalam perlawanan yang diadakan bagi menguji pemain import baru kedua-dua pasukan itu, Kedah menumpaskan tuan rumah 4-1 dengan semua gol dijaringkan pemain import.
Zdravko Dragicevic menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama manakala Daniel Baroni pula menunjukkan kecemerlangan apabila mencipta hatrik di separuh masa kedua walaupun dikatakan akan disingkirkan kerana prestasi tidak memuaskan.
Manakala seorang lagi pemain import, Safi Abdelfatah juga tidak mengecewakan apabila menunjukkan persembahan baik. Jentera pasukan Kedah juga banyak mendominasi permainan walaupun cubaan membolos gawang USM FC tersasar beberapa kali manakala pasukan lawan pula banyak membuka ruang.
Mengulas tindakan segelintir penyokong Kenari yang mahu memboikot perlawanan membabitkan pasukan itu di Stadium Darulaman sebagai protes ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Khyrill Muhymeen berkata, dia dan rakan sepasukan faham perasaan penyokong berikutan Kedah masih belum mencatatkan kemenangan.
“Semua pihak perlu bersikap rasional. Penyokong juga perlu profesional dan saya berharap mereka akan tetap ke stadium bagi menyokong pasukan,” katanya.
Kedah, bekas juara Liga Super 2007 dan 2008 kini berdepan krisis prestasi apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan awal dengan hanya mampu seri dua kali dan tiga kali kalah serta terperosok di bawah liga.
Pasukan itu juga hanya menjaringkan satu gol selepas beraksi selama 450 minit menyebabkan penyokong berang dan mendesak KFA melakukan perubahan termasuk menyingkirkan pengurus Datuk Khazali Din.
Sementara itu, Khazali berkata, KFA akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi memutuskan senarai akhir dua pemain import termasuk sama ada akan mengekalkan Baroni dan Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo atau memilih pemain baru.
“Saya tidak sangka Baroni akan menonjol dalam perlawanan persahabatan itu, bagaimanapun keputusan akan dibuat selepas perbincangan diadakan manakala kedudukan tiga pemain import yang diuji Zdravko Dragicevic, Abdelfatah dan Olupo Kolode masih belum dapat dipastikan lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment