Sunday, February 26, 2012

Malaysia sukar buat bidaan

BH Online

HASRAT Malaysia menjadi tuan rumah saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Asia B-22 2013, 23 Jun hingga 3 Julai depan, berdepan kesukaran membabitkan masalah stadium serta jadual padat liga domestik. 

Ia sekali gus membuka peluang cerah buat Vietnam yang turut membidanya, kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkata, Stadium Nasional Bukit Jalil pasti tidak dapat dijadikan venue kerana kerja-kerja baik pulih bumbungnya bermula April ini.

“Kita tak tahu bila ia akan dibuka semula tetapi dijangka memakan masa setahun. Kita boleh lihat stadium lain seperti Stadium Shah Alam atau Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Tapi jadual padat Liga Super sepanjang Jun dan Julai juga menjadi kekangan dan pasti memerlukan penangguhan.
“Secara peribadi, saya sokong kita jadi tuan rumah, namun banyak aspek yang perlu dilihat sebelum membida,” kata Hamidin ketika ditemui selepas merasmikan Akademi Bola Sepak Khaff FC di Taman Permata, Ulu Klang, petang semalam. 

Skuad B-21 negara kendalian Ong Kim Swee dijadual bertemu Korea Selatan pada 23 Jun, Filipina (25 Jun), Taiwan (28 Jun), Vietnam (30 Jun) dan Myanmar (3 Julai) untuk merebut dua slot ke pusingan akhir, tahun depan. 

“Apapun terpulang kepada Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa FAM yang dipengerusikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan timbalannya, Datuk Seri Subahan Kamal untuk memberi pertimbangan sewajarnya berhubung bidaan ini,” jelas Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...