PEMAIN skuad Harimau Muda menjalani latihan di padang MSN, Bukit Jalil semalam sebagai persediaan untuk aksi pembukaan Liga-S menentang Gombak United, esok. |
KUALA LUMPUR - Saingan kelayakan Olimpik mungkin sudah tidak memberikan apa-apa makna kepada jurulatih Bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee tetapi memandang serius saingan Liga Singapura (Liga-S) sebagai medan persiapan paling sempurna menghadapi kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, Jun depan.
Bakal memulakan cabaran pertama bertemu Gombak United esok di Stadium Jalan Besar, Kim Swee tidak memandang enteng kualiti beberapa pasukan Liga-S yang disifatkannya lebih baik daripada pasukan Liga Super.
"Saya lihat saingan Liga-S akan memberikan ruang yang banyak kepada pemain saya mengutip seberapa banyak pengalaman dan peluang kepada saya merangka strategi paling ampuh sebelum menghadapi kelayakan Bawah 22 Piala AFC.
"Biarpun saya sedar ada beberapa pemain yang tidak dapat menyertai kejohanan Bawah 22 itu seperti Mahalli Jasuli dan Mohd. Affize Faisal, saya mempunyai ramai pemain bawah 21 tahun dalam skuad kali ini yang akan beraksi dalam Piala AFC.
"Saingan Liga-S saya lihat tetap kompetitif kerana banyak pasukan yang agak baik seperti Home United, Tampine Rovers dan SAFFC (Angkatan Tentera Singapura), mereka bukan sahaja empat pemain import yang bagus namun pemain tempatan berkualiti, " katanya yang ditemui di Padang Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Kejohanan akhir Piala AFC Bawah 22 tahun akan berlangsung kali pertama pada tahun 2013 dan majlis undian bakal dilakukan di Rumah AFC, 14 Februari ini.
Sebanyak 39 negara akan mengambil bahagian pada pusingan kelayakan yang dijadualkan bermula dari 22 Jun hingga 8 Julai dan tuan rumah kejohanan juga akan diumumkan pada majlis pengundian.
Kim Swee juga mencabar anak-anak buahnya agar mampu berada dalam kelompok lima pasukan teratas pada saingan tahun pertama Liga-S.
"Jika tahun lalu semasa dalam saingan Liga Super kami berjaya meraih kedudukan lima terbaik dan mampu bersaing dengan beberapa pasukan utama, saya harap mereka mampu mengulangi pencapaian yang sama kali ini.
"Sasaran ini bukan ditetapkan oleh FAM sebaliknya daripada diri saya sendiri kepada pemain-pemain saya.
"Memang kalau tengok atas kertas, pasukan saya akan menghadapi cabaran yang bukan calang-calang kerana tiada pemain import dan di samping ketiadaan lagi beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd. Muslim Ahmad dan K. Gurusamy.
"Walaupun saya tidak menjangkakan keajaiban akan berlaku namun saya optimis dengan kemampuan semua pemain saya, " katanya.
No comments:
Post a Comment