KUALA LUMPUR - Dua pemain Felda United, Hardi Jaafar (gambar) dan Mohd. Firdaus Fauzi terselamat daripada hukuman gantung satu musim selepas kedua-dua pemain yang terlibat dalam insiden pergaduhan dengan penyokong Negeri Sembilan di Stadium Paroi dikenakan penggantungan lima perlawanan dan denda RM5,000 seorang.
Ia gara-gara Hardi dan Firdaus hanya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Razak kerana memanjat pagar dan menyerang penonton, namun terlepas bagi satu lagi pertuduhan iaitu mempunyai niat bergaduh dengan penonton.
Menurut penolong pengurus Felda United, Faisal Zakariah, dia benar-benar rasa lega dengan keputusan yang diberikan kerana ia satu hukuman yang paling ringan dijatuhkan kepada kedua-dua pemainnya.
''Hardi dan Firdaus hanya didapati bersalah bagi pertuduhan pertama kerana memanjat pagar dan dan menyerang penonton tetapi terlepas pertuduhan kedua iaitu menyerang penonton untuk tujuan bergaduh.
''Itu yang menyebabkan mereka berdua dikenakan penggantungan lima perlawanan dan denda RM 5,000 dan bernasib baik tidak didapati bersalah bagi kesalahan kedua yang mungkin membawa penggantungan satu musim serta denda RM 25,000.
''Pihak kami juga perlu membayar kos perbicaraan sebanyak RM 2,287 kerana didapati bersalah dalam kes ini dan akan datang semula dalam satu lagi perbicaraan melibatkan tuan rumah, Negeri Sembilan pada 5 Mac ini.
''Saya harap insiden ini akan dijadikan sebagai satu pengajaran berguna kepada pemain-pemain lain supaya beringat pada masa akan datang sebelum melakukan sesuatu tindakan," katanya yang berkata pihaknya tidak bercadang lagi membuat sebarang rayuan setelah berpuas hati dengan hukuman yang diberikan oleh FAM.
Sementara itu, Hardi menerima keputusan itu dengan reda sambil bersyukur kerana hanya digantung lima perlawanan, namun melahirkan perasaan kecewa dengan apa yang terjadi.
''Saya hairan dengan sikap penonton, pasukan mereka telah menang jadi mengapa mereka tidak berpuas hati lagi, sebelum ini saya tidak pernah terlibat dalam masalah sebegini.
''Walaupun begitu, saya mahu melupakan perkara ini dan mahu memberikan kembali fokus kepada pasukan selepas digantung lima perlawanan nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment