Wednesday, February 15, 2012
Fandi, Sukumaran gagal serlah Jengking
MESKIPUN Johor cuba beri saingan namun sikap terlalu menghormati Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyebabkan barisan pemain K Sukumaran terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.
Biarpun skuad bergelar Jengking mendapat sentuhan gandingan pengurus pasukan Fandi Ahmad dan Sukumaran yang berusaha membentuk barisan mantap namun kelebihan dimiliki B Sathianathan bijak mencorakkan permainan bertenaga menyebabkan Johor lesu di laman sendiri.
Kehadiran dua tenaga import, Andre Francisco de Silva yang beraksi di posisi tengah dan Juan Muriel Orlando selaku penyerang masih belum mampu mengubah nasib skuad itu tatkala pemain lain tampak gagal berfungsi dengan konsisten hingga mudah buat ATM merobek gawang skuad Jengking.
Apapun Sukumaran mempunyai alasan tersendiri terhadap kekalahan Johor biarpun anak buahnya cuba sedaya upaya mengkucar-kacirkan benteng lawan.
“Andre dan Orlando baru menjalani latihan bersama Johor dan belum ada keserasian namun saya puas hati apabila kedua-dua pemain mampu mempamer aksi terbaik.
“Pada awal perlawanan, kami menguasai permainan tapi mula hilang kawalan hingga membenarkan pemain ATM menghukum kami. Hanya Ahmad Tharmini Saiban yang berpengalaman di benteng pertahanan ketika pemain lain tampak gugup dengan asakan bertubi-tubi ATM terutama dengan kelincahan Hairuddin (Omar) dan Zaquan (Adha Abd Razak)," katanya.
Hairuddin unggul mencipta hatrik kedua selepas melakukannya ketika menewaskan Perlis, 4-0 baru-baru ini dengan gol pada minit ke-33, 62 dan 72 manakala pemain import Bruno Marteloto turut menyumbang gol m-89. Johor mencipta jaringan menerusi Mohd Hamzani Omar m-48.
Kekalahan kedua berturut-turut meletakkan skuad Jengking dalam dilema kerana perlu berdepan T-Team pada aksi kalah mati Piala FA di Stadium Pasir Gudang, Sabtu ini dan semestinya Sukumaran harus mencari resipi baru bagi memburu kemenangan di laman sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment