BOSKO BALABAN terus memastikan kehadirannya dirasai apabila menjaringkan gol pembukaan untuk membantu Selangor melepasi halangan pusingan pertama dengan seteru Liga Super, Johor FC menanti di pusingan kedua pada 10 Mac depan.
Jaringan penyerang berusia 34 tahun pada minit ke-21 yang kemudiannya diikuti tiga lagi gol pada babak kedua memastikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu mencatatkan kemenangan 4-0 menentang Shahzan Muda dalam pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu.
Lebih menarik, Johor FC kini dikendalikan bekas jurulatih Selangor, K Devan yang meninggalkan Merah Kuning musim lalu selepas mencapai persetujuan bersama.
“Ia memang kemenangan yang sepatutnya kami raih. Gol pembukaan Balaban pada peringkat awal permainan memberikan semangat kepada kami untuk memburu gol tambahan walaupun perlawanan berlangsung dalam keadaan padang becak akibat hujan lebat. “Kehadirannya (Balaban) memang membantu dan memainkan peranan yang sepatutnya. “Namun masih terlalu awal untuk bergembira kerana Johor FC menanti kami. “Selain beraksi di tempat lawan, kehadiran Devan yang memang memahami setiap pergerakan kami bakal memberikan sedikit kesukaran untuk mengatasi mereka. “Paling penting semua pemain tidak boleh terlalu yakin,” kata kapten Merah Kuning, Mohd Amri Yahyah yang meledak jaringan ke-100 bersama Selangor.
Pada perlawanan itu, Selangor terpaksa menunggu babak kedua untuk menambah jaringan dimulai dengan perancang tengah, Safiq Rahim menerusi sepakan penalti pada minit ke-65 yang kemudiannya memastikan kedudukan 3-0 pada minit ke-72 sebelum Amri melengkapkan kemenangan besar ketika perlawanan berbaki sembilan minit.
Musim lalu, Selangor yang juga juara terbanyak Piala FA dengan lima kali terkandas pada separuh akhir dengan kali terakhir menjulangnya pada 2009.
No comments:
Post a Comment