Thursday, February 23, 2012

Norazlan tekad balas kepercayaan jurulatih


Harian Metro

PENJAGA gol Selangor, Norazlan Razali percaya Merah Kuning akan terus mempamerkan kebangkitan selepas saingan Liga M bersambung awal bulan depan.


Kemenangan ke atas juara bertahan Liga Super, Kelantan, 2-1 selain membelasah Shahzan Muda, 4-0 pada pusingan pertama Piala FA menjadi penutup yang positif buat Selangor sebelum saingan Liga Malaysia berehat dua minggu.




“Saya yakin kami akan terus mempamerkan persembahan positif selepas ini. Namun bukan mengharapkan aksi terbaik rakan sepasukan, saya juga perlu mempamerkan peningkatan kerana belum mencapai tahap terbaik,” katanya yang mendapat kepercayaan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim untuk mengawal gawang Merah Kuning musim ini.




Hingga kini, penjaga gol berusia 27 tahun itu melepaskan lapan gol selepas lapan perlawanan Liga Super yang menyaksikan Selangor di tempat ketujuh dengan mengumpul 12 mata.

“Saya harap lebih banyak perlawanan selepas ini akan membantu saya membaiki persembahan. Mungkin satu atau dua perlawanan lagi saya akan berada pada tahap terbaik,” kata bekas penjaga gol Kuala Lumpur itu.


Kecemerlangan dipamer Norazlan itu membolehkan dia mendapat panggilan menyertai kem latihan skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal bersama beberapa rakan sepasukan seperti Safiq Rahim dan Mohd Asraruddin Putra Omar untuk aksi persahabatan menentang Sabah dan Filipina.





Selangor akan meneruskan saingan Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada 3 Mac selain Johor FC menanti pada pusingan kedua Piala FA pada 10 Mac.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...