Tuesday, February 14, 2012

Apek tidak tergugat


Harian Metro

PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui tidak tergugat dengan pelbagai kontroversi dikaitkan dengan dirinya baru-baru ini dan akan memastikan gawang The Red Warrios tidak dibolosi ketika berdepan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berkata, dia sudah lali dengan kontroversi dan tidak pernah membawa masalah peribadi ke padang ketika beraksi dalam kejohanan antarabangsa mahupun liga tempatan.


“Saya akan pastikan segala perkara yang tiada kaitan dengan bola sepak ditinggalkan di luar padang sebelum perlawanan bermula dan sentiasa berdoa supaya berjaya membantu pasukan.



“Untuk perlawanan dengan Selangor, saya harap Kelantan berjaya mengutip tiga mata di tempat lawan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.


Menurut Khairul Fahmi, kontroversi itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam kerjaya sebagai penjaga gol nombor satu negara, malah menganggap apa yang berlaku itu membantu mematangkannya.



“Walaupun ada kalanya terkilan, saya kuatkan semangat untuk memberi persembahan terbaik kepada pasukan kebangsaan dan negeri,” katanya.



Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Peter James Butler berharap anak buahnya mampu mengulangi kejayaan menewaskan Terengganu di Kota Bharu, Sabtu lalu selain optimis Kelantan, mampu meraih kemenangan.


“Saya harap kemenangan ke atas Terengganu akan menyuntik semangat pemain mengekalkan rentak permainan dan yakin pemain mampu melakukan yang terbaik,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...