Tuesday, February 21, 2012

Perintis projek padang tiruan




Pembinaan di seluruh negara bermula di Sarawak tahun ini, kata Ahmad Shabery


KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah padang bola sepak tiruan di seluruh negara, bermula di Sarawak pada tahun ini.



Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pihak kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti projek pertama padang bola sepak tiruan itu, yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM1 juta setiap satunya sekiranya dibina mengikut piawaian badan pentadbir bola sepak dunia, FIFA.





“Kita akan mulakan (pembinaan) satu dulu sebagai model di sini sebelum dapat kita melaksanakannya di tempat lain,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kecemerlangan Akuatik di Kompleks Belia dan Sukan di sini semalam.


Padang bola sepak tiruan itu bagaimanapun dijangka akan dibina berdekatan dengan Stadium Negeri dan Stadium Sarawak di sini.


Terdahulu, Ahmad Shabery dan rombongan telah melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia.


Hadir sama Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkeples Embong dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Salihin Kachon.


Ahmad Shabery berkata rakyat Sarawak amat berbangga kerana memiliki kemudahan sukan yang terbaik seperti Pusat Kecemerlangan Akuatik, kompleks sukan, stadium, gelanggang futsal dan sebagainya.


“Kita percaya dengan pembinaan padang tiruan nanti akan menambah lagi kemudahan sukan yang ada di negeri ini,” katanya sambil berharap lebih ramai atlet sukan bertaraf dunia dapat dilahirkan dari negeri ini.


Beliau menarik perhatian dengan adanya kemudahan sukan terbabit, Sarawak berpeluang menganjurkan pelbagai kejohanan sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut berbangga dengan pembinaan Pusat Kecemerlangan Akuatik yang telah hampir siap sepenuhnya.


“Kita berharap kemudahan sukan itu dapat digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat negeri ini di samping dapat melahirkan lebih ramai atlet berkaliber terutamanya dalam sukan renang dan terjun,” katanya.


Pusat Kecemerlangan Akuatik itu dibina dengan kos RM36 juta dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan, kolam renang, terjun, asrama dan sebagainya.


Kemudahan sukan tercanggih di Malaysia itu bakal menjadi gelanggang pertarungan atlet-atlet negara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) jika Sarawak diberikan penghormatan sebagai tuan rumah pada masa akan datang.


“Pusat ini merupakan yang terbaik di negara ini dan kita percaya ia sebagai pusat kecemerlangan yang mampu melahirkan ramai atlet yang bertaraf antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...