KEGAGALAN mara ke pusingan kedua Piala FA selepas kecundang kepada Johor FC, 1-2, tidak mematahkan semangat pemain Negeri Sembilan untuk kembali mempamerkan persembahan cemerlang dan mencipta kemenangan sebaik saingan Liga Super bersambung awal bulan depan.
Pemain paling senior skuad itu, Idris Karim berkata, skuad Hoben Jang Hoben sudah memahat azam tinggi untuk bangkit daripada kekecewaan itu dengan persembahan lebih cemerlang.
“Kami akui kegagalan mempertahankan reputasi selaku pasukan yang pernah menjulang trofi Piala FA amat pahit tapi ia tidak melemahkan semangat dan keyakinan untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super. “Kami bertekad untuk bangkit dengan persembahan lebih baik sebaik saingan liga bersambung nanti.
“Malah kami sudah jadikan kekalahan kepada Johor FC tempoh hari sebagai pengajaran dan semua pemain bersedia melupakan detik itu kerana menyedari ada tugas penting perlu kami jayakan iaitu memburu kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.
Menurutnya, misi memastikan kemenangan dan mengutip mata maksimum dalam setiap perlawanan menjadi matlamat utama kerana ia amat penting untuk meletakkan pasukan pada landasan kukuh dalam kelompok teratas carta selain mengelak jurang melebar dengan pasukan lain.
“Cabaran dalam saingan liga makin sengit terutama dengan perubahan dan kehadiran beberapa pemain import baru.
“Namun kami yakin mampu mengharungi cabaran itu dan akan berjuang habis-habisan memastikan sasaran tercapai,” katanya.
No comments:
Post a Comment