Thursday, February 16, 2012

Butler kurang senang dengan tindakan Kafa


Harian Metro

PENDAHULU dan juara bertahan Liga Super, Kelantan bergolak selepas ketua jurulatihnya, Peter James Butler dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini tidak sehaluan.




Pengendali berusia 46 tahun itu jelas kurang senang dengan pemilihan penyerang import baru Kelantan dari Nigeria, Nwoha Onyekachi yang didaftarkan untuk beraksi bersama Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia bagi menggantikan pemain Lubnan, Mohammed Ghaddar.

“Saya perlu pulang bertanya diri sendiri apa yang saya lakukan di sini. Saya tidak mahu menjadi kritikal buat orang lain namun saya mesti adil dan jujur. Kalau mereka (pihak pengurusan) mahu mengambil keputusan di luar tangan saya, tiada apa boleh saya lakukan. Ia mesti dihormati.




“Namun jika saya tidak boleh bekerja seperti yang saya mahukan, saya perlu bertanyakan beberapa soalan. Saya memberikan komitmen yang tinggi dalam tugasan dan apa yang saya mahukan adalah sedikit rasa hormat. Saya mempunyai kontrak selama dua tahun, sudah pasti saya akan kekal jika mendapat jawapan yang diingini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kekalahan pertama Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin.

Malah bekas pemain West Ham United itu enggan mengulas mengenai aksi Onyekachi dengan berkata: “Saya tidak mahu komen, saya tidak tahu dia, saya tengok dia setengah jam dan bukan saya untuk menilai dia. Anda mesti faham, saya boleh menilainya jika dia sudah seminggu bersama saya.” “Saya kecewa dengan ketiadaan Ghaddar, dia pemain yang baik walaupun tidak menjaringkan gol. Saya mendapat maklumat ada pemain lain menggantikannya. Saya kena hormat keputusan itu,” katanya.


Sementara itu Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menerusi sistem pesanan ringkasnya berkata tiada penjelasan dan komen akan diberikan sehingga jawatankuasa pengurusan bermesyuarat.



Menurutnya lagi, semua perlu berjalan seperti biasa dengan Butler perlu menumpukan kepada tugasnya dan pengurusan akan terus diberi kepercayaan seperti biasa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...