JARINGAN tunggal Amar Rohidan pada minit ke-80 membolehkan skuad kebangsaan pulang dengan kemenangan tipis 1-0 selepas berhempas-pulas menentang skuad Liga Super Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Bagaimanapun, skuad kendalian Datuk K Rajagopal terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan pemain tengah Sabah, Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-60 yang berjaya membolos gawang Harimau Malaya dengan menewaskan Farizal Marlias. Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil, Sani Tari selepas bola terkena tangan pemain Sabah itu.
Perlawanan babak pertama berlangsung agak hambar apabila Harimau Malaya menurunkan hampir kesebelasan pemain simpanan untuk mencari rentak permainan.
Bagaimanapun, skuad kebangsaan yang terlebih dulu mengasak kubu Sabahawks sebaik wisel permulaan dan pada minit keempat, sepakan Mohd Zaquan Adha sedikit tersasar.
Kira-kira 20,000 penyokong Sabah yang memenuhi stadium semakin gamat apabila percubaan pertama Sabahawks menerusi Shahrul Azhar pada minit ketujuh melewati palang gol walaupun hanya berdepan Farizal.
Sabah terus mengasak apabila pemain import Sabah, Brendan Gan sekali lagi melakukan percubaan terus hasil hantaran Michael Biard. Bagaimanapun, aksi satu lawan satu bersama Farizal gagal menghasilkan gol.
Sepanjang tempoh babak pertama perlawanan, Sabah lebih kerap mengasak kubu Harimau Malaya yang agak kucar-kacir.
Aksi babak kedua lebih tersusun apabila Biard membuat hantaran lintang kepada Zainizam Marjan dari tepi gawang Malaysia pada minit ke-53 namun terselamat apabila percubaannya hanya menerjah tiang gol.
Kemuncak penantian perlawanan hadir apabila Safee Sali dimasukkan pada minit ke-80 hingga menyebabkan stadium menjadi gamat.
Namun, kemasukan Safee gagal membantu skuad kebangsaan menambah jaringan.
Peminat ‘Apek’ turut terubat apabila Khairul Fahmi Che Mat, penjaga gol nombor satu negara itu masuk pada minit ke-92 sebelum perlawanan berakhir kira-kira tiga minit kemudian.
Sementara itu, Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan memuji aksi skuad Sabah yang memberi tentangan sengit terhadap pasukan kendaliannya.
“Keseluruhannya saya puas hati dengan aksi malam ini,” katanya yang akan membawa pasukan Malaysia ke Manila untuk perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 29 Februari ini.
No comments:
Post a Comment