Friday, February 3, 2012

Irfan belum berkenan aksi Balaban



KUALA LUMPUR - Aksi bekas pemain kebangsaan Croatia, Bosko Balaban yang diturunkan ketika bertemu skuad Bawah 23 tahun negara selasa lalu, belum memuaskan hati jurulatih Selangor, Irfan Bakti untuk disenaraikan sebagai import kedua Red Giants.

Biarpun mempunyai daya kawalan bola dan hantaran yang baik, daripada segi kepantasan dan kecergasan Bosko menjadi persoalan besar jika aksi 57 minit kelmarin menjadi penilaian.

Irfan mengakui Bosko mungkin memerlukan sedikit masa untuk kembali cergas di samping menyesuaikan diri dengan corak permainan Selangor.

"Dia masih kepenatan setelah melalui perjalanan yang panjang dari Croatia. Pada mulanya dia enggan bermain dalam perlawanan malam ini.

"Namun, setelah dipujuk akhirnya dia bersetuju beraksi namun dari segi stamina, dia masih belum cergas sepenuhnya.

"Saya akan terus menilai dan memberi peluang kepada Bosko sehingga 13 Februari ini sebelum membuat sebarang keputusan serta berbincang dengan pengurusan pasukan," kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Selangor dan skuad Olimpik Selasa lalu.

Dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, Bosko dimasukkan pada minit ke-13 menggantikan R. Surendran sebelum dikeluarkan pada minit ke-70.

Irfan mencari seorang pemain yang mampu bergerak pada banyak posisi dan bukan pemain yang mampu menjaringkan gol semata-mata.

"Saya mahu melihat dia mampu bermain pada posisi kiri dan kanan, bukan sekadar menjadi 'target man' di barisan serangan," ujar Irfan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...