Saturday, February 25, 2012

Irfan tak risau tanpa 6 tonggak

KETIADAAN enam tonggak yang hanya akan kembali Khamis depan selepas tamat tugasan antarabangsa mereka, sedikit pun tidak merisaukan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjelang aksi Liga Super bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu depan. 

Hanya 18 pemain berlatih sejak Selasa lalu dengan penjaga gol Norazlan Razali, Bunyamin Umar, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim dan K Gurusamy bersama skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan menentang Sabah, malam tadi dan Filipina di Manila, Rabu ini.

Pertahanan import dari Lubnan, Ramez Dayoub pula di Abu Dhabi untuk aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) juga pada Rabu.
“Saya tak rasa ketiadaan mereka menjejaskan persiapan pasukan kerana apabila bersama pasukan kebangsaan, sudah tentu mereka berada pada tahap kecergasan terbaik. Cuma mereka hanya akan kembali pada 1 Mac (Khamis) dan sehari kemudian kami berlepas ke Alor Setar. 

“Lagipun tiada masalah kecederaan di kalangan pemain kecuali Gurusamy. Saya yakin Selangor mampu meneruskan rentak kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini,” kata Irfan ketika dihubungi, semalam. 

Sejak kehadiran penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban, Selangor meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan dengan kemenangan 2-1 pada 14 Februari serta membelasah Shahzan Muda 4-0 pada aksi pusingan pertama Piala FA, 18 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...