SESI pemilihan terbuka skuad Liga Perdana Perlis di Stadium Utama Negeri Kangar, Jumaat dan kelmarin mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila lebih 100 pemain dari luar Perlis termasuk yang pernah menyarung jersi kebangsaan hadir mencuba nasib.
Sesi pemilihan anjuran Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan kerjasama pengurusan skuad Singa Utara itu bertujuan mengenal pasti pemain berpotensi untuk disenaraikan dalam pasukan apabila pendaftaran baru dibuka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), April ini.
Paling utama ialah untuk mencari pemain berwibawa untuk beraksi di posisi pertahanan yang dikategorikan paling lemah dalam pasukan selain beberapa posisi lain termasuk penjaga gawang dan penyerang.
Antara yang hadir termasuk bekas penyerang skuad kebangsaan dan pasukan Perak, Selangor dan Kelantan, Mohd Khalid Jamlus.
Turut tidak ketinggalan ialah bekas pemain Sabah, Selangor PKNS dan Perlis, Mohd Arsyah Ayob, Mohd Hardi Ahmad, Mohd Firdaus Yusof (Kedah) dan Mohamad Hafidzuan Salehuddin (Perak dan Perlis).
Manakala selebihnya adalah membabitkan sebahagian besar pemain muda dari beberapa negeri termasuk Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Ketua jurulatih Perlis, Abdullah Hassan mengakui agak terkejut kerana tidak menduga sama sekali sesi pemilihan terbuka yang dijalankan itu bakal mendapat sambutan yang disifatkan sebagai memberangsangkan.
Bagaimanapun, katanya, selepas menilai dan mengambil kira pelbagai aspek bersesuaian dengan sasaran pemilihan itu dijalankan, setakat ini sekurang-kurangnya tiga atau empat pemain sudah dikenal pasti mempunyai peluang.
Begitupun, katanya, senarai nama pemain yang bakal terpilih hanya akan ditentukan selepas berakhir sesi pemilihan semalam atau selewat-lewatnya dalam tempoh terdekat.
No comments:
Post a Comment