Pemain Selangor, Fitri Shazwan berjaya melepasi asakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Wan dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/Mohd. Azim Abd. Rahman |
KUALA LUMPUR - Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super, Kelantan akhirnya lebur di tangan musuh ketat, Selangor dengan kekalahan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Skuad Red Giants berjaya menurunkan penyerang import baru, Bosko Balaban setelah memperoleh sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pada tengah hari semalam dan bekas penyerang antarabangsa Croatia itu ternyata berjaya menunjukkan impak kepada jentera serangan Selangor.
Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor tidak perlu menunggu lama sebaik bermula babak kedua melalui sepakan kencang Safiq Rahim pada minit ke-46.
Ketika Kelantan sedang leka mengasak dalam usaha mencari gol penyamaan, tuan rumah menghukum kealpaan pertahanan Red Warriors dengan Balaban bijak melepasi perangkap ofsaid setelah menerima lambungan cantik dari Safiq sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-76.
Skuad bimbingan Peter Butler akhirnya mendapat gol saguhati pada minit ke-90 menerusi pertahanan, S. Subramaniam ketika situasi kelam kabut di depan pintu gol Selangor tetapi ia sudah terlambat buat Kelantan dalam usaha meraih sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan berkenaan.
Prestasi merudum Terengganu berterusan apabila gagal mengutip kemenangan buat kali ketiga berturut-turut apabila seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Pemain sayap Terengganu, Asaari Samsudin meletakkan tuan rumah pada minit ke-45, namun dapat disamakan oleh Khyril Muhymeen pada minit ke-73.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Sarawak mengejutkan tuan rumah, Johor FC dengan kemenangan 2-1.
Tuan rumah terlebih dahulu membolosi gawang lawan pada minit ke-21 hasil sepakan percuma pemain import dari Brazil, Athur Henrique, namun pasukan pelawat mendapat gol penyamaan apabila ketua pasukan, Guy Bwele berjaya merembat kencang gol penyamaan pada minit ke-34, juga melalui situasi sepakan percuma.
Memasuki separuh masa kedua, perlawanan dilihat seimbang namun bekas pemain Johor FC, Azizan Baba berjaya menyudahkan peluang hasil sepakan penjuru pada minit ke-74 untuk memberikan tiga mata berharga kepada Sarawak di tempat lawan.
Di Stadium Perak, skuad Seladang terus mengalami kekalahan apabila kalah 1-2 kepada Lions XII dengan ketua pasukan, Shahril Ishak menjadi duri dalam daging kepada Perak menerusi dua jaringan pada minit ke-35 dan 74 sementara gol tunggal Perak disumbangkan Michael Kubala, minit ke-54 melalui sepakan penalti.
Negeri Sembilan pula gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Skuad yang dikenali dengan nama jolokan Semut Api itu terlebih dahulu di hadapan melalui sepakan penalti Paulo Sergio Ferreira pada minit ke-43, namun Jean Emmanuel Effa Owona menyelamatkan maruah Sang Rusa dengan gol penyamaan pada minit ke-45.
Sabah memastikan derita Kuala Lumpur terus berpanjangan apabila meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 2-0 di Stadium Likas hasil jaringan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-36 dan minit ke-46 oleh pemain import dari Australia, Michael Baird.
Di Stadium Hang Jebat, Felda gagal mengambil kesempatan dengan kekurangan seorang pemain T-Team ketika ketinggalan satu jaringan kepada pasukan pelawat apabila tewas 3-0.
No comments:
Post a Comment