Friday, February 3, 2012

Bukan kerana isu gaji


Harian Metro

ISU rasuah yang melanda pemain dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bukan berpunca daripada faktor gaji atau kekangan peruntukan seperti yang didakwa sesetengah pihak, malah PFA tidak pernah terbabit isu tunggakan pembayaran gaji pemain bagi musim ini.

Naib Presiden PFA, Azhar Ahmad berkata, semua pemain menerima gaji masing-masing pada 28 hari bulan setiap bulan dan tidak pernah tertunggak melebihi satu bulan.


Menurutnya, semua wang itu daripada peruntukan PFA termasuk bantuan dan yang disumbang kerajaan negeri.



“Hingga hari ini, semua gaji bulanan sudah dibayar kepada semua pemain dan tidak wujud masalah gaji tertunggak yang kononnya masih membelenggu pemain Perlis hingga mewujudkan isu rasuah.


“Gaji semua pemain dibayar mengikut tahap kemampuan dan diselaras mengikut pengalaman masing-masing,” katanya ketika menerima dana daripada kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Abu di Kangar, Perlis, semalam.



Menurutnya, hingga kini, kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan kewangan bernilai lebih RM1 juta kepada PFA dalam usaha meringankan beban persatuan bola sepak negeri itu.



“Walaupun gaji yang dibayar kepada pemain negeri ini boleh dikatakan rendah, ia sesuai dengan pengalaman serta usia pemain terbabit. Purata gaji yang diperoleh pemain tempatan sekitar RM2,000 ke atas,” katanya.


Katanya, wang bantuan berjumlah RM300,000 yang disumbang kerajaan negeri kepada PFA akan digunakan bagi membayar gaji pemain untuk Februari dan Mac tahun ini.



Sebelum ini Harian Metro menyiarkan laporan dakwaan PFA terhadap sembilan daripada 11 pemain bertemu ejen bookie sebelum mendakwa ditawarkan wang berjumlah RM100,000 bagi menjual perlawanan.


Perkara itu dibongkar selepas pihak PFA mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pemain selepas kekalahan teruk skuad kendalian Abdullah Hassan itu kepada Majlis Perbandaran Muar, 2-7.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...