Tuesday, February 14, 2012

Atur perlawanan, tiga pasukan senior Liga M kini disiasat



PETALING JAYA - Tiga pasukan senior Liga Malaysia bakal berdepan tindakan drastik Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya siasatan ke atas mereka sekarang berjaya membuktikan berlakunya kegiatan mengatur keputusan atau rasuah bola sepak.




Malah, yang menyedihkan Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan, Ketelusan dan Penyelarasan FAM, Tan Sri Aseh Che Mat ialah salah satu daripada ketiga-tiganya yang mungkin mengikut jejak skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar yang didedahkan, baru-baru ini ialah pasukan yang pernah diasaskannya.

"Kami sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas kesemua pemain dan pegawai ketiga-tiga pasukan berkenaan. Jika terbukti (berlakunya jual perlawanan), jawatankuasa ini akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk memutuskan tindakan.

"Kami juga mengesan sindiket mengatur keputusan perlawanan tempatan ini mempunyai rangkaian dengan sebuah negara jiran dan pihak Jabatan Imigresen bakal membantu menyekat pergerakan keluar masuk mereka dari dan ke negara ini yang jumlahnya didapati agak besar," katanya selepas mesyuarat hampir tiga jam itu di sini, semalam.

Ekoran keseriusan rasuah bola sepak negara, katanya, mesyuarat semalam turut mengenal pasti seorang calon bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dilantik mengetuai Unit Ketelusan dan Penyelarasan secara sepenuh masa manakala seorang lagi pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diundang menganggotai jawatankuasa berkenaan.

"Pegawai pesara PDRM ini pernah aktif dengan bola sepak dan FAM satu ketika dulu tetapi namanya akan diumumkan kemudian setelah dia bersetuju dengan syarat dan terma pelantikannya," katanya yang bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada calonnya ialah bekas Setiausaha Agung FAM yang juga bek kanan negara era 70-an, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan.

Turut dikatakan menjadi calon penyandangnya ialah bekas Ketua Pengarah Penjara, Tan Sri Zaman Khan yang pernah mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib FAM, malah mengendalikan skandal rasuah bola sepak 'bersejarah' dan melibatkan lebih 120 pemain negara pada 1994 hingga 1995.

"Ia selaras hasrat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam mesyuarat di ibu negara, baru-baru ini yang mahukan seorang bekas pegawai kanan kerajaan mengetuai unit secara sepenuh masa untuk memerangi sindiket rasuah bola sepak yang turut bergerak secara 'profesional'," katanya.

Jawatankuasa ini katanya, bakal kerap bermesyuarat secara bulanan pada setiap Selasa minggu kedua bagi memastikan integriti bola sepak negara dapat dipelihara biarpun mereka tetap mempertahankan bahawa isu rasuah masih tidak seteruk skandal 1994 atau hanya kurang daripada separuh daripada mereka yang pernah dikenakan pelbagai hukuman itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...