Tuesday, February 14, 2012

Wan Jamak umpama ‘mati hidup semula’


Harian Metro

JURULATIH Kedah, Wan Jamak Wan Hassan menganggap dirinya umpama ‘mati hidup semula’ selepas tempoh penggantungan tujuh perlawanan Liga Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadapnya tamat baru-baru ini.




Sepanjang tempoh itu, yang bermula sejak saingan Liga Super musim ini, beliau hanya mampu memantau dan mengikuti perkembangan anak buahnya dari jauh tanpa boleh mengatur serta mencorakkan strategi pasukan itu.


“Selepas tujuh perlawanan, saya perlu melakukan sesuatu dalam usaha mengembalikan semangat dan moral pemain dan mereka perlu kembali kepada latihan sebenar.



“Saya harap kehadiran pemain import, Abdelfatah Safi (pemain tengah dari Maghribi) dan Mohammed Hamidan (penyerang Ghana) mampu meningkatkan momentum jentera serangan Kedah untuk menjaringkan gol bagi membantu kami mengutip mata kemenangan,” katanya.


Wan Jamak berharap anak buahnya mampu mencorakkan permainan terbaik dan kehadiran Safi ketika pertemuan dengan Sabah di Stadium Darul Aman malam Sabtu lalu, nyata memberi impak positif terutama di bahagian serangan.



“Safi bijak dan mempunyai kemahiran tinggi di padang tapi masih memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pemain tempatan,” katanya. Wan Jamak berkata, beliau mempunyai strategi tersendiri dalam usaha mencari kemenangan kedua ketika bertemu dengan Terengganu, malam ini.



Sebelum ini, beliau digantung berikutan kritikan pedas terhadap pengadil perlawanan selepas pasukan bimbingannya seri 1-1 ketika menentang Perak pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, musim lalu.


Penggantungan itu memberi kesan kepada prestasi Kedah apabila gagal meraih kemenangan dalam lima perlawanan pertama dan hanya menjaringkan satu gol. - Bernama




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...