Thursday, February 2, 2012

Malaysia kini lebih bersedia jumpa Bahrain di Manama


Permain Selangor, Fitri Syazwan (tengah) diasak keras pemain skuad Olimpik, Mahali Jasuli (kanan) dan Mohd Amer Saidin dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Pulihkan reputasi yang tercalar kepada Bahrain. Itulah peringatan jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee kepada anak-anak buahnya menjelang pertemuan dengan skuad Olimpik Bahrain bagi pusingan akhir kelayakan Olimpik di Manama, Bahrain, Ahad ini.

Bagaikan masih terasa kekalahan pedih 2-3 kepada Bahrain, beliau berkeyakinan tinggi yang skuad kali ini ternyata lebih bersedia untuk meraih kemenangan pertama bagi membalas dendam kekecewaan yang dialami di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 November lalu.

''Memang peluang untuk layak ke Sukan Olimpik sangat tipis tetapi saya telah ingatkan kepada pemain, inilah masa yang sesuai untuk mereka pulihkan kembali maruah yang tercalar selepas kalah 2-3 pada pertemuan lalu.

''Ditambah kami benar-benar berada dalam keadaan terbaik daripada segi persiapan dan semua pemain yang cedera telah kembali, saya harap mereka semua dapat melakukan sesuatu.

''Siapa tahu jika kami menang di sana (Manama), kedudukan dalam kumpulan akan kembali terbuka dan peluang untuk layak masih ada tambahan selepas itu kami akan bermain dengan Jepun di tempat sendiri samping dibantu sokongan padu penyokong," katanya ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan Selangor, semalam.

Pada perlawanan dengan Selangor kelmarin, skuad Olimpik sekadar seri tanpa jaringan dengan separuh masa pertama berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

Babak pertama menyaksikan Kim Swee memilih gandingan dua 'Ahmad' iaitu Ahmad Shakir Ali dan Ahmad Fakri Saarani sebelum memasukkan Ahmad Hazwan Bakri pada separuh masa kedua menggantikan Shakir.

Selain itu, dia mencuba kombinasi Muslim Ahmad dan Mohd. Amer Saidin di bahagian pertahanan tengah dan turut memberikan peluang kepada ketua pasukan Harimau Muda B, Wan Amirzafran Wan Nadris bermain di separuh kedua.

Mengenai aksi para pemainnya, Kim Swee mengakui dia berpuas hati dengan persembahan para pemain secara keseluruhan memandangkan mereka sudah lama tidak beraksi secara kompetitif.

''Beberapa pemain seperti Ahmad Fakri, K. Gurusamy, Ahmad Shakir Ali dan Muslim Ahmad, saya tidak bimbangkan kerana mereka telah bermain dengan pasukan negeri masing-masing.

''Cuma pemain seperti Gary Steven Robbat yang baru bermain setelah empat bulan terpaksa berehat masih memerlukan masa yang untuk mendapatkan kembali rentak di samping Wan Zaharulnizam yang tidak bermain selepas Sukan SEA.

''Namun, semua telah kembali berada dalam yang baik, cuma kemungkinan beberapa pemain yang baru pulih ini saya tidak akan letakkan dalam kesebelasan utama kerana faktor kecergasan," katanya.

Kim Swee membawa 21 pemain ke Manama dengan menggugurkan empat pemain, Syahrul Azwari kerana kecederaan buku lali, Syazwan Tajuddin, Izuan Solahudin dan Sharil Shaari.

Selain itu, skuad kali ini juga tidak dapat membawa dua pemain utama, Mohd. Fadhli Shas dan A. Thamil Arasu kerana telah mendapat dua kad kuning dalam edisi pusingan kelayakan kali ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...