SKUAD Harimau Muda yang muncul juara bola sepak Sukan Sea di Jakarta November lalu dipilih Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebagai pemenang Anugerah ‘Out-Do Yourself’ 2011 SAM-100Plus-KBS.
Skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun di bawah bimbingan Ong Kim Swee berjaya mengekalkan pingat emas Sukan Sea selepas mengalahkan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan.
“Ini penghormatan besar. Tiada siapa memberi peluang untuk kami kembali dengan pingat emas dari Jakarta. Kami terpaksa melepasi gergasi seperti Thailand dan tuan rumah Indonesia sebelum dinobat juara,” kata Kim Swee dalam kenyataan yang dikeluarkan SAM, semalam.
Dengan anugerah itu, beliau berharap meningkatkan lagi prestasi pasukan serta merapatkan jurang dengan pasukan gergasi Asia.
Kim Swee akan menerima anugerah itu bagi pihak pasukan pada majlis penyampaian anugerah di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Ahad ini.
Kemuncak majlis itu ialah penyampaian Anugerah ‘Atlet Terbaik 2011’ yang menyaksikan 11 calon dipilih dengan lima daripadanya disenarai pendek dalam setiap kategori oleh ahli-ahli SAM.
Lima calon yang disenarai pendek itu masing-masing akan menerima RM1,000 manakala pemenang akan membawa pulang RM10,000 dan trofi kristal.
Sebelas calon itu adalah Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun), Fatehah Mustapha dan Ju Pha Som Net (berbasikal), Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Jacqueline Jenelee dan Adrian Ang (boling), Aaliyah Yoong (ski-air), Kevan Cheah (wushu) dan pasukan recurve (memanah).
Sejumlah RM45,000 turut ditawarkan bagi anggota SAM di bawah enam kategori, laporan berita terbaik (cetak), komentar terbaik (cetak), laporan berita terbaik (elektronik), komentar terbaik (elektronik), laporan khas terbaik (cetak dan elektronik) dan fotografi terbaik.
Juara keseluruhan akan dipilih daripada enam kategori ini dan menerima hadiah RM7,000 serta sebuah trofi kristal.
Setiap pemenang bagi enam kategori itu akan menerima RM3,000 dan trofi manakala semua lima calon bagi setiap enam kategori akan menerima RM500 dan pingat. - Bernama
No comments:
Post a Comment