Wednesday, February 22, 2012
Sukumaran optimis Johor bangkit lebih garang
MESKIPUN mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dan tersingkir awal daripada saingan Piala FA, Johor tetap optimis mampu melakukan kebangkitan pada saingan Liga Perdana bagi memburu slot ke Liga Super musim depan.
Mungkin peluang itu tampak samar namun jurulatih, K Sukumaran sudah merencana strategi ampuh bersama pengurus pasukan, Fandi Ahmad yang dilantik Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) selaku penasihat teknikal tatkala tempoh rehat selama sembilan hari digunakan sepenuhnya bagi membuat persiapan rapi berdepan Perlis di Stadium Utama, Kangar, 2 Mac depan.
“Kita merancang mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan kelab dari Singapura, Tampines Rovers, Jumaat ini dan satu lagi pasukan belum diputuskan bagi memastikan kecergasan pemain berada di tahap memuaskan selain memastikan pemain tempatan dan import ada persefahaman.
“Saya akui tiga kekalahan dialami Johor agak perit namun itulah bola sepak, kita perlu terima hakikat di tambah pula Johor tewas kepada pasukan lebih mantap biarpun pemain sudah beri yang terbaik.
“Buat masa ini, penyerang Mohd Fauzzi Kassim sudah mula menjalani latihan ringan selepas mengalami kecederaan otot paha dan saya harap beliau akan cergas sepenuhnya sebelum aksi menentang Perlis,” katanya.
Apapun, Sukumaran harus bertindak pantas mempertajamkan barisan serangan tatkala pemain gantian yang disandarkan ketika ketiadaan Mohd Fauzi iaitu Jeremy Mathew Danke tampak kurang konsisten dan gagal memainkan peranan bergandingan bersama Juan Muriel Orlando.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment