Monday, February 20, 2012

‘Terima hakikat tewas’


Harian Metro

“KITA kena terima kekalahan itu walaupun pahit. Hakikatnya kita gagal memanfaatkan peluang sekali gus impian mengulangi kejayaan menjuarai trofi ini tidak kesampaian,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah.


Beliau mengulas mengenai kegagalan skuad bimbingannya yang tewas kepada Johor FC 1-2, dalam aksi pertama saingan Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.




Menurutnya, sekalipun anak buahnya berjaya mendahului awan menerusi jaringan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-29, mereka gagal mengekalkan rentak apabila pemain import pelawat, Arthur Henrique meletakkan Johor FC ceria menerusi jaringannya m-39 dan 79.




“Memang kecewa kerana gagal mempertahankan reputasi pasukan yang pernah menjulang Piala FA sebelum ini tapi kita akur nasib tidak menyebelahi pasukan ini, apabila kita tidak dapat menggunakan khidmat Ahmad Shakir Md Ali yang bersama skuad kebangsaan dan terpaksa menyandarkan harapan kepada Effa seorang diri di barisan depan.

“Selain itu masalah kecederaan beberapa pemain termasuk penyerang gantian, Mohd Firdaus Azizul yang jelas memberi kesan kepada kekuatan serta persembahan pasukan hingga membuatkan peluang itu diambil sebaiknya oleh skuad bimbingan K Devan untuk menang dan mara ke pusingan kedua,” katanya semalam.


Menurut Azraai, ketumpulan barisan depan membuatkan berapa peluang yang diperoleh pasukan gagal diterjemahkan dengan jaringan manakala pemain pelawat berjaya memanfaatkan peluang menambah jaringan sekali pun barisan pertahanan Negeri Sembilan berusaha mengawal benteng dengan baik.





Katanya, kekalahan kepada Johor FC itu menutup peluang Negeri Sembilan untuk mengulangi kejayaan sebelum ini yang pernah dua kali menjuarai trofi saingan kalah mati itu.

“Pemain berasa kecewa selepas berusaha mempertahankan reputasi pasukan tapi terpaksa menerima hakikat betapa Piala FA musim ini sudah terlepas dan ada dua lagi piala iaitu Liga Super dan Piala Malaysia menjadi buruan.




“Saya berharap tempoh rehat yang agak panjang ini akan dapat memberi peluang untuk kita memperbaiki sebarang kelemahan bagi membolehkan kita membuat persiapan lebih baik dan meningkatkan lagi prestasi pasukan sebelum kembali bertarung dalam saingan liga,” katanya.

Pengendali berpengalaman itu berharap anak buahnya dapat menjadikan kekalahan kelmarin sebagai pengajaran berguna untuk memberikan persembahan terpuji demi memastikan pasukan mencapai kemenangan sebaik saingan liga bersambung nanti.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...