Friday, February 24, 2012

Johor FC gantung enam pemain



JOHOR BAHRU - Enam pemain skuad Piala Presiden Johor FC digantung serta-merta selepas kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang di sini, Khamis lalu.

Perlawanan tersebut menyaksikan pasukan itu berjaya membenam Perlis 3-0, satu-satunya kemenangan selepas tewas kepada Perak (0-2), Angkatan Tentera Malaysia (0-1) dan Majlis Perbandaran Muar (0-1).



Skuad Piala Presiden itu kemudiannya tewas sekali lagi menentang Terengganu 1-3 selepas mencatat kemenangan ke atas Perlis.

Setiausaha Johor FC, Tahir Hamdan berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan bagi menunjukkan ketegasan itu, kesemua pemain terbabit kini digantung tanpa gaji sehingga siasatan polis selesai.

"Perkara ini memang serius dan disebabkan itu kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik terhadap pemain berkenaan jika didapati melanggar undang-undang," katanya di sini, semalam.

Johor FC menjadi satu-satunya pasukan berstatus kelab yang pernah muncul juara Piala Presiden pada 2009.

Difahamkan, pihak pengurusan skuad Piala Presiden bertindak merampas telefon bimbit pemain selepas perlawanan menentang Perlis dan mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan serta satu laporan polis dibuat selepas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff mengesahkan pihaknya menerima satu laporan mengenai kes tersebut dan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk mengambil tindakan.

"Polis menyerahkan kes berkenaan kepada SPRM Johor untuk tindakan susulan dan pada masa sama polis sedang mengenal pasti dalang yang terlibat dalam kegiatan itu. Kita akan cekup mereka secepat mungkin," katanya.

Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan pihaknya akan menyiasat mengikut Akta SPRM 2009 untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur rasuah atau tidak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...