Friday, February 24, 2012

Apek positif


Harian Metro

PENJAGA gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat tidak mahu terus memperoleh keputusan negatif apabila skuad negara turun menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini selepas dibolosi Jepun empat kali dalam perlawanan kelayakan Olimpik London di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.


Pemain berusia 23 tahun itu yang dikenali sebagai Apek menaruh harapan tinggi agar skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang mula menjalani latihan pusat sejak minggu lalu mampu mencatatkan persembahan positif dengan meraih kemenangan di Stadium Likas sebelum diikuti aksi persahabatan antarabangsa berstatus A menentang Filipina di gelanggang lawan, Rabu depan.




“Inilah kali pertama saya dipanggil menyertai kem latihan tahun ini. Sekiranya diturunkan, saya akan memberikan aksi terbaik bagi memastikan tempat di gawang terjamin dan melupakan kekalahan kepada Jepun,” katanya. yang menjadi tonggak kemenangan Piala AFF 2010 dan pingat emas Sukan Sea 2011.




Menurutnya, kemenangan ke atas skuad Liga Super itu penting bagi memberikan motivasi kepada dirinya dan rakan sepasukan lain bagi menghadapi Filipina yang kini dilihat antara pencabar yang mungkin dihadapi mereka bagi mempertahankan Piala AFF hujung tahun ini.

Di pentas antarabangsa, rekod skuad negara sepanjang 10 perlawanan berstatus A tahun lalu kurang memuaskan apabila hanya mencatatkan tiga kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan dengan kali terakhir kecundang 2-3 kepada India pada November tahun lalu.


Kali terakhir skuad kendalian Rajagobal menentang skuad Liga Super, mereka membelasah Kelantan, 5-0, awal bulan ini namun ia bukan jaminan untuk mereka terus mencatatkan kemenangan besar kerana Selangor pernah melakukan kejutan tahun lalu apabila mencatatkan kemenangan 1-0.





Selain itu, aksi 90 minit di Stadium Likas juga dilihat peluang terbaik Rajagobal mencari dan membentuk kekuatan baru skuad negara terutamanya dengan kehadiran beberapa pemain baru seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Shahrudin Yakup dan G Mahathevan.

Malah ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha kerana kecederaan membuka ruang kepada penyerang lain seperti Mohd Zaquan Adha Abd Razak, Ahmad Shakir Ali dan Abdul Manaf Mamat membentuk gandingan baru bersama kapten Pelita Jaya FC, Safee Sali.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...