Sunday, February 26, 2012

'Nasib baik bukan perlawanan antarabangsa'



KOTA KINABALU - Datuk K. Rajagobal menganggap kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin memadai buat pasukan negara.

Ketua jurulatih negara itu menjelaskan, pemainnya gagal membuktikan kekuatan sebenar apabila tampak keletihan dalam perlawanan tersebut hingga membataskan pergerakan pantas mereka.
''Kita boleh nampak ada sedikit keletihan. Boleh nampak pemain-pemain tidak bermain macam apa saya harapkan, menggerakkan bola dengan pantas. Kami juga tidak berapa agresif.



''Nasib baik ini bukan perlawanan antarabangsa. Sabah bermain dengan agresif dan saya sebenarnya nak lihat macam mana pemain kebangsaan menghadapi situasi seperti ini.

''Saya kira, (perlawanan) ini adalah persiapan yang baik sebelum kita bertandang ke Filipina," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, malam kelmarin.

Dalam pertemuan itu yang disaksikan lebih 20,000 penonton itu, pasukan Malaysia menewaskan Sabah dengan jaringan 1-0 yang dihasilkan lewat babak kedua perlawanan.

Meskipun beraksi di bawah keupayaan sebenar, pasukan negara berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan menerusi jaringan Amar Rohidan pada minit ke-79.

Malaysia berpeluang membuka tirai jaringan awal tetapi percubaan Sharudin Yakub minit ke-13 tinggi melepasi tiang gol.

Tidak dinafikan, Sabah boleh berpesta gol malam itu selepas menyaksikan kerapuhan benteng pertahanan negara yang gagal menghalang asakan bertali arus Zainizam Marjan, Michael Baird dan Brendan Gan.

Cuma pasukan tuan rumah tidak bernasib baik apabila banyak percubaan yang dilakukan tersasar dan berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias.
Rajagopal berkata, pemainnya tetap bermain baik di sebalik tekanan dan serangan daripada Sabah.

''Saya mahu lihat dan uji pemain yang saya ganti kerana saya tidak akan tahu (keupayaan) mereka dan kita mungkin tidak nampak corak permainan itu mungkin lebih efektif dengan pertukaran pemain-pemain.

''Hanya saya tidak boleh turunkan Safee Sali sepenuh masa kerana semalam dia cedera dan saya tak nak ambil risiko dan kalau Norshahrul Idlan Talaha ada di sini mungkin peminat boleh melihat kekuatan sebenar pasukan kita," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...