Friday, February 24, 2012

Malaysia tak pasti tuan rumah Piala Suzuki AFF


Harian Metro

HASRAT skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF, November ini bakal terjejas apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang pada awalnya dijadual menjadi gelanggang rasmi saingan peringkat kumpulan kemungkinan terpaksa ditutup bagi tujuan baik pulih bumbung yang kini mengalami kerosakan.





Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad selepas dimaklumkan pihak pengurusan stadium, Kompleks Sukan Negara (KSN). Situasi itu tampak merugikan kepada pasukan kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal yang mengharapkan sokongan padu Ultras Malaya bagi misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat kali pertama pada 2010. 


Namun Azzuddin berkata, pihaknya akan berusaha mencari jalan penyelesaian agar hak penganjuran bersama Thailand tahun ini tidak akan dilepaskan begitu saja. “Stadium ini bukan di bawah kawalan FAM, kita hanya boleh merayu dan mendapatkan pertimbangan sewajarnya daripada pihak kerajaan,” katanya. Ini kali kedua Malaysia mendapat hak selaku penganjur piala paling berprestij di rantau ini selepas menjadi tuan rumah bersama Vietnam pada 2004 yang menyaksikan skuad negara menamatkan kempen di tempat ketiga.

Ternyata masalah dialami FAM ini memberikan perkhabaran gembira buat Persekutuan Bola Sepak Filipina yang menyatakan minat menjadi tuan rumah pada Disember 2010, namun mesyuarat Ahli Majlis AFF pada 19 Februari 2011 memutuskan untuk memberikan hak penganjuran kempen peringkat kumpulan kepada Malaysia dan Thailand. 



Masalah ini juga kini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. “Saya akan melihat perkara ini kerana belum mendapat maklumat terperinci apakah baik pulih itu membabitkan struktur bumbung atau ia boleh ditangguhkan kerana ia juga membabitkan prosedur kewangan,” katanya.



SNBJ yang turut ditutup pada pertengahan tahun lalu bagi memberi laluan kepada kerja baik pulih trek menjadi saksi kejayaan skuad negara apabila menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan final pertama sebelum tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada aksi kedua. Namun Malaysia tetap berjaya menjulang kejuaraan pertama sejak Piala AFF diperkenalkan pada 1996 menerusi agregat 4-2.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...