Saturday, February 4, 2012

ATM rampas takhta, benam 9 pemain Pahang


Permain Pahang, Nana Yaw (kiri) cuba melepasi pertahanan ATM dalam Perlawanan Liga Perdana di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam. -Utusan/Safrizal Azmi

PETALING JAYA - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali merampas takhta Liga Perdana selepas membenam Pahang 3-2 dalam perlawanan yang menyaksikan skuad Tok Gajah menamatkan saingan dengan sembilan pemain di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.




Turun dengan reputasi sebagai 'Manchester City Malaysia', ATM terlebih dulu menggegar gawang lawan seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Bruno Marteloto selepas Marlon Alex James dikasari pertahanan Pahang.

Bagaimanapun, Pahang tidak cepat mengalah apabila hanya memerlukan tujuh minit kemudian untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Melalui sepakan penjuru yang diambil oleh Mohd.Hafiz Kamal, Saiful Nizam Miswan menanduk masuk gol pasukan pelawat bagi meletakkan permainan kembali seimbang.

ATM bagaimanapun kembali di depan menerusi penjaring terbanyaknya, Marlon pada minit ke-19 setelah menerima hantaran Hairuddin Omar dan menanduk bola bagi merakamkan gol ketujuh peribadi musim ini.

Bagaimanapun, perlawanan menjadi bertambah rancak apabila Pahang kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi Azamuddin Akil, yang menggoncang jaring ATM dengan larian solo menarik di sebelah kiri dan melepaskan rembatan leret menewaskan Farizal Harun pada minit ke-30.

Ketika Pahang ghairah memburu gol ketiga mereka tersentak pada minit ke-75 apabila Saiful Nizam dilayang kad merah setelah mengutip dua kad kuning.

ATM mengambil kesempatan dengan kekurangan seorang pemain Pahang apabila pemain gantian, Christie Jayaseelan muncul wira melalui sepakan jarak jauh pada minit ke-84.

Nasib pelawat bertambah malang selepas Shahrizan Salleh menjadi pemain kedua mendapat kad merah pada minit ke-89 lantas mematikan semangat perjuangan Pahang dalam memburu gol penyamaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...