Sunday, February 5, 2012

FAM pantau gaji pemain


BH Online

Pasukan gagal lunas tunggakan selepas dua amaran berdepan hukuman gantung

SEMUA transaksi pembayaran gaji pemain akan dipantau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Langkah itu diiringi amaran keras kepada semua pasukan supaya tidak memandang ringan perkara berkaitan pembayaran gaji demi mengelak masalah yang berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) hampir saban tahun sebelum ini.
“FAM akan wujudkan satu badan bebas yang akan memantau transaksi pembayaran gaji di setiap pasukan yang bertanding dan turut mendapat kerjasama pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Kita perlu ambil kira kemahuan penyokong yang mahu melihat aksi terbaik dipamerkan pemain. Oleh itu, kami bersedia menggantung mana-mana pasukan daripada menyertai pertandingan bola sepak di negara ini. Tindakan ini berkuat kuasa serta merta hari ini (semalam),” kata Naib Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin, selepas mesyuarat Exco kali keempat yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuala Lumpur, semalam. 

Amaran ini bukan kerana mahu menghukum dan membebankan pasukan bertanding, sebaliknya ia perlu dilihat daripada sudut lebih positif termasuk untuk mengelak pemain terbabit dengan kegiatan rasuah dan mengatur keputusan perlawanan.

Hamidin berkata, masalah kelewatan bayaran gaji turut menjadi antara punca yang mendorong pemain untuk terbabit dengan rasuah dan menerima ganjaran daripada bookie. 
Begitupun katanya, FAM hanya akan menggantung pasukan daripada menyertai pertandingan selepas surat amaran kedua tidak diendahkan.

“Kami mahu pemain menerima gaji setimpal seperti yang dipersetujui antara dua pihak (pemain dan pasukan). Sekiranya pasukan gagal menjelaskan bayaran pada bulan pertama, kami akan mengeluarkan surat amaran pertama.

“Surat amaran terakhir akan dikeluarkan jika masalah itu berulang di bulan kedua dan sekiranya ia masih berlaku, FAM akan menghalang mereka daripada bertanding sehingga mereka melunaskan semua tunggakan gaji pemain,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...