URA-URA bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) Bojan Hodak akan menggantikan Peter James Butler sebagai ketua jurulatih Kelantan bukan lagi ‘omong kosong’ kerana ia sudah menjadi kenyataan.
Menurut sumber, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) buntu untuk menyelesaikan masalah Butler yang menghilangkan diri selepas direhatkan.
Katanya, memang sudah sah Hodak dilantik sebagai pengendali terbaru pasukan Kelantan untuk meneruskan perjuangan Red Warriors.
Menguatkan lagi kenyataan itu, Hodak muncul pada perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Singapura (SAFFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin dan duduk di sebelah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.
Hodak dilihat seperti merencanakan sesuatu sebelum bergelar jurulatih kepada pasukan Kelantan.
Sebelum ini, isu mengenai Butler hangat diperkatakan selepas beliau meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemilihan pemain import.
Butler mendakwa tidak tahu menahu mengenai pemain import baru Kelantan, Nwoha Onyekachi yang diturunkan dalam perlawanan Liga Super ketika menentang Selangor, selain menyatakan tidak tahu apa fungsinya sebagai jurulatih ketika bersama Kelantan.
Bagaimanapun, isu tidak sehaluan itu dianggap selesai apabila Butler membuat perjumpaan dengan Azman pada 17 Februari lalu dan memilih untuk memberi perhatian membimbing pasukan.
Butler kemudian didakwa menghilangkan diri membuatkan isu mengenainya bertambah ‘kalut’.
No comments:
Post a Comment